JEMPOL – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mendakwa menerima beberapa laporan perbuatan khianat terhadap bahan kempen pilihan raya di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurut kenyataan Sekretariat Pusat Media Pilihan Raya Negeri Sembilan Ke-16 PH hari ini, insiden itu melibatkan bendera parti yang didakwa dibakar di DUN N.06 Palong malam tadi serta kerosakan pancang bendera di DUN N.31 Chembong pagi ini.
PH memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan berhak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan sekiranya terbukti poster,
“HARAPAN ingin menyeru agar perkara seumpama ini tidak melarat menjadi budaya dikalangan penggiat politik dalam negara ini.
“Kami juga berharap seluruh anggota dan jentera HARAPAN tidak membalas semula perbuatan ini yang mungkin dilakukan oleh pihak yang mahu mengeruhkan keadaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
PH menyeru agar calon dan jentera berkempen dengan sihat kerana hak untuk berpolitik dan berkempen termaktub secara tidak langsung dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Ia seperti tertakluk melalui beberapa peruntukan Kebebasan Asasi (Bahagian II) serta hak politik asas lain.
Jelasnya, Pengarah Pilihanraya Bilik Gerakan Dun telah pun dinasihatkan untuk membuat laporan yang sewajarnya walaupun HARAPAN tidak berniat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak setakat ini. – Malaysiagaet
















