Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pelajar pada Program Sesi Santai Mesra Bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS), Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Julai 2026.

KAJANG – Kerajaan Madani tidak akan terus menambah hutang baharu negara meskipun nisbah hutang kerajaan semakin menurun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan masih perlu menanggung pembayaran faedah hutang lama termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan FELDA.

Menurut beliau, walaupun pelbagai usaha berjaya dilaksanakan bagi mengurangkan nisbah hutang negara, komitmen pembayaran hutang dan faedah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu masih kekal tinggi serta memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara.

“Saya tidak mahu terus menambah hutang negara. Ada yang kata hutang kerajaan semakin bertambah. Hakikatnya, nisbah hutang kerajaan semakin berkurangan tetapi jumlah pembayaran hutang masih tinggi kerana kita perlu membayar faedah ke atas hutang-hutang lama.

“Kita masih membayar hutang 1MDB. Bagaimana hendak nafikan perkara itu?” soalnya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS) di sini hari ini.

Anwar berkata, kerajaan hari ini turut menanggung beban kewangan besar akibat keputusan pelaburan dan salah urus pentadbiran terdahulu, termasuk pembelian aset pada harga yang jauh melebihi nilai sebenar.

Beliau mendedahkan, terdapat aset termasuk sebuah hotel yang dibeli pada harga RM400 juta walaupun nilai sebenar aset berkenaan dianggarkan hanya sekitar RM160 juta.

“Saya tahu kerana laporan itu sampai kepada saya. Apabila saya mengambil alih, saya pula yang perlu menyelesaikannya. Sekarang kita hendak jual semula pun mungkin hanya bernilai sekitar RM100 juta. Itulah realitinya,” katanya.

Menurut Anwar, keadaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos pembayaran yang tinggi setiap tahun bagi menyelesaikan komitmen kewangan lampau sekali gus mengehadkan ruang fiskal untuk melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Beliau mengakui pendedahan mengenai isu tersebut mungkin tidak disenangi sesetengah pihak namun menegaskan rakyat perlu mengetahui realiti sebenar kedudukan kewangan negara.

“Adakah saya akan menjadi popular apabila menceritakan perkara ini? Sudah tentu tidak. Orang marah. Mereka kata jangan ungkit kisah lama.

“Tetapi siapa yang perlu membayar sekarang? Kerajaan hari ini,” tegasnya.

Tambah Anwar, beban kewangan yang diwarisi itu turut dapat dilihat menerusi komitmen kerajaan terhadap FELDA yang mencecah hampir RM1 bilion setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast