Keadaan pencawang elektrik baharu yang dibina bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik kepada penduduk Kampung Gadong Lama dan Kampung Gadong Jaya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Gadong Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 JULAI 2026.

SEREMBAN – Penantian lebih lima tahun penduduk Kampung Gadong Lama dan Kampung Gadong Jaya untuk menikmati bekalan elektrik yang stabil akhirnya berakhir selepas sebuah pencawang elektrik (substation) baharu dibina sekali gus menyelesaikan gangguan bekalan yang sering berlaku terutama ketika musim perayaan.

Keadaan pencawang elektrik baharu yang dibina bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik kepada penduduk Kampung Gadong Lama dan Kampung Gadong Jaya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Gadong Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 JULAI 2026.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak berkata, isu itu dikenal pasti selepas beliau dilantik sebagai penyelaras kawasan menerusi program ziarah dan turun padang yang diadakan setiap minggu.

Menurutnya, hasil lawatan dari rumah ke rumah membolehkan beliau memahami kesukaran sebenar penduduk apabila bekalan elektrik sering terganggu berikutan pembangunan pesat di sekitar DUN Labu sehingga kapasiti bekalan sedia ada tidak lagi mampu menampung permintaan.

“Saya hanya sedar masalah ini apabila ketua kampung menghubungi saya dan bertanya sama ada boleh menghantar genset ketika musim perayaan. Saya terkejut kerana kampung ini hanya kira-kira 10 minit dari bandar tetapi masih berdepan masalah bekalan elektrik.

“Bagi saya, ini bukan isu kecil tetapi keperluan asas yang mesti diselesaikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gadong Lama di sini hari ini.

Temubual Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, mengenai masalah gangguan bekalan elektrik sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Gadong Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 JULAI 2026

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama ketua kampung, beliau dimaklumkan masalah itu sudah berlarutan lebih lima tahun sebelum usaha mencari tapak sesuai dilakukan bagi membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membina pencawang baharu.

“Alhamdulillah, bekas imam kampung bersetuju memberikan tapak kepada TNB. Dengan kerjasama TNB, pejabat daerah dan semua agensi berkaitan, pembinaan pencawang ini berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan, sedangkan permohonan sebelum ini sudah bertahun-tahun tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Ahmad Faez berkata, kejayaan itu bukan hasil usahanya semata-mata sebaliknya dicapai melalui kerjasama kerajaan negeri, TNB, pejabat daerah serta semua pihak yang membantu mempercepatkan proses pembinaan.

“Saya tidak mahu ambil kredit seorang diri. Orang kampung siap memasang kain rentang mengucapkan terima kasih tetapi saya beritahu ini usaha semua pihak.

“TNB banyak membantu sehingga proses yang kebiasaannya mengambil masa lama dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Zulkifli Mohd Ismail. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 JULAI 2026

Penduduk Kampung Gadong Lama, Zulkifli Mohd Ismail berkata, masalah bekalan elektrik sebelum ini memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk apabila banyak peralatan elektrik rosak akibat bekalan yang tidak stabil.

“Bila musim perayaan, ramai balik kampung dan penggunaan elektrik meningkat, bekalan terus terganggu. Peti sejuk serta pelbagai peralatan elektrik rosak. Kami memang sudah lama memohon, tetapi tidak berjaya.

“Alhamdulillah, selepas pencawang baharu dibina, kami tidak lagi berdepan masalah seperti dahulu,” katanya.

Rosmaiza Ibrahim. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 JULAI 2026

Seorang lagi penduduk, Rosmaiza Ibrahim, berkata bekalan elektrik yang lebih stabil turut memberi kelegaan kepada suri rumah yang menjalankan perusahaan kecil dari rumah seperti membuat kek, biskut dan pelbagai produk bakeri.

“Sebelum ini memang banyak oven, freezer dan peti sejuk rosak kerana bekalan elektrik tidak stabil. Ramai suri rumah berniaga dari rumah, jadi masalah ini turut menjejaskan pendapatan kami.

“Selepas pencawang baharu dibina, kami boleh berniaga dengan lebih yakin tanpa bimbang bekalan elektrik terputus,” katanya.

Pushparani Shamy. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 JULAI 2026

Sementara itu, S. Pushparani berkata, penduduk benar-benar merasai perubahan selepas pencawang baharu mula beroperasi, terutama ketika musim perayaan yang sebelum ini sering dicemari gangguan bekalan elektrik.

“Memang benar masalah ini sudah lama berlaku. Bila semua orang balik kampung dan menggunakan elektrik pada masa yang sama, bekalan selalu terputus.

“Sekarang kami nampak sendiri perubahannya dan sangat gembira kerana akhirnya masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.

Zainuddin Mahmud. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 JULAI 2026

Bagi Zainuddin Mahmud, pembangunan pesat di sekitar Kampung Gadong menjadi faktor utama peningkatan penggunaan elektrik sehingga bekalan sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan penduduk.

“Bila musim perayaan, semua menggunakan elektrik serentak sehingga bekalan tidak lagi mencukupi. Lampu banyak yang tidak menyala, ada rumah bergelap dan bekalan sering terputus.

“Sepatutnya waktu itu kami bergembira bersama keluarga tetapi gangguan elektrik menjejaskan suasana raya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu turut menyebabkan penduduk menanggung kos tambahan akibat kerosakan peralatan elektrik, namun pembinaan pencawang baharu kini memberi kelegaan kepada seluruh penduduk kampung.

Selain menyelesaikan isu bekalan elektrik, Ahmad Faez berkata, kawasan Kampung Gadong Lama turut menerima dua menara telekomunikasi baharu hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sekali gus mengatasi masalah liputan rangkaian yang sebelum ini turut menjadi rungutan penduduk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast