KUALA LUMPUR – Penduduk di kawasan perumahan Taman Andalas dekat Klang dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki disyaki kurang siuman berjalan di atas bumbung rumah tanpa seurat benang hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah teres dua tingkat di kawasan berkenaan pukul 6.53 pagi.
“Susulan itu, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi dan pemeriksaan pasukan menemui seorang lelaki berusia 30-an dipercayai kurang siuman berada di atas bumbung rumah pengadu.
“Anggota kemudian mengambil pendekatan memujuk lelaki tersebut sebelum dia selamat diturunkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pukul 8.05 pagi.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan kejadian berkenaan yang mendakwa lelaki terbabit ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian serta dikaitkan dengan kes pecah rumah. – MalaysiaGazette
















