KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Klinik Perubatan Sukan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (ISMEC), di sini hari ini.
Tunku Azizah bertitah, penubuhan ISMEC merupakan pencapaian penting dalam usaha SASMEC @ IIUM memperkasa perkhidmatan penjagaan kesihatan yang inklusif berlandaskan syariah bagi mendepani keperluan kesihatan masyarakat.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan institusi ini dalam menyediakan perkhidmatan perubatan sukan yang komprehensif merangkumi aspek pencegahan, rawatan, rehabilitasi serta peningkatan prestasi di samping menggalakkan masyarakat agar lebih sihat dan aktif,” titah baginda.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj ketika bertitah pada Majlis Perasmian Klinik Perubatan Sukan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (ISMEC)
ISMEC kini berkolaborasi dengan institusi luar negara seperti Aspetar selain institusi dalam negara seperti Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Ia dibuka untuk semua lapisan masyarakat, tidak terhad kepada atlet sahaja dan bakal menyediakan khidmat Program Pengurusan Berat Badan dan Kesejahteraan untuk warga emas dan kanak-kanak.
Dalam majlis tersebut, baginda turut menyempurnakan Penamaan Semula Unit Reproduktif SASMEC @IIUM (RUS) secara rasmi sebagai Tunku Azizah Advanced Reproductive Unit SASMEC @IIUM (TiARA).
Tunku Azizah menzahirkan rasa terharu apabila namanya menjadi sebahagian daripada nama baharu unit reproduktif yang begitu dekat dihatinya.
“Saya amat berbesar hati. Saya tidak hanya menganggap ini satu penghormatan secara peribadi, malah sebagai lambang komitmen bersama terhadap penjagaan kesihatan reproduktif lanjutan.
“Usaha murni ini akan membantu membawa harapan baru kepada pasangan dan keluarga yang mahu menimang cahaya mata kelak,” titahnya lagi.

Pada majlis itu, Tunku Azizah mengurniakan cenderahati istimewa kepada lima keluarga yang berjaya menimang cahaya mata hasil rawatan yang dijalankan di TiARA sebelum bercemar duli mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kemudahan di ISMEC. – MalaysiaGazette
















