KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan reputasinya di persada nasional apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Organization of the Year: Transformative ESG Leadership pada majlis Sustainability & CSR Malaysia Awards 2026, baru-baru ini.
Pengiktirafan berprestij itu membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam mengarusperdanakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi strategi pembangunan institusi yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi.
Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi berkata, anugerah tersebut merupakan manifestasi pelaksanaan Pelan
Strategik UTHM 2026–2030 yang berpaksikan aspirasi GTU2030 (Global Technopreneur University 2030).
Menurut beliau, pelan strategik itu menjadi pemacu utama dalam merealisasikan visi UTHM sebagai universiti teknikal bertaraf global yang menerajui teknologi pengangkutan lestari ke arah masa depan rendah karbon.
“Bagi merealisasikan aspirasi GTU2030, universiti memberikan tumpuan kepada tiga teras transformasi utama, iaitu keusahawanan, pendigitalan dan dekarbonisasi.
“Ketiga-tiga teras ini saling melengkapi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, memperkukuh ekosistem inovasi serta memperhebat komitmen UTHM terhadap agenda pembangunan lestari,” katanya.
Beliau menjelaskan, visi GTU2030 menuntut seluruh warga universiti berperanan sebagai pencipta nilai yang mampu menghasilkan penyelesaian inovatif dan berimpak bagi menangani cabaran global, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta aspirasi pembangunan negara.
Tambah beliau, anugerah itu menjadi pemangkin untuk UTHM terus memperkukuh kecemerlangan agenda ESG, sekali gus mengangkat kedudukannya sebagai universiti teknikal hijau yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.
Kejayaan itu turut membuktikan usaha bersepadu seluruh warga UTHM dalam membudayakan kelestarian, tadbir urus berintegriti dan tanggungjawab sosial mampu memberikan impak yang signifikan kepada masyarakat, industri dan pembangunan negara. – MalaysiaGazette
















