JOHOR BAHRU – Siasatan terhadap isu penyertaan rakyat Israel dalam Network School di Forest City tidak seharusnya terhenti setakat pemeriksaan pasport semata-mata selepas dikatakan tiada bukti.
Penyelaras Majlis Perhubungan Parti Wawasan Negara Negeri Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, siasatan wajar diteruskan kerana umum mengetahui terdapat individu yang memiliki lebih daripada satu kewarganegaraan atau menggunakan dokumen perjalanan negara lain.

“Justeru, sebarang dakwaan mahupun penafian hendaklah disahkan melalui siasatan yang benar-benar menyeluruh, profesional dan berasaskan fakta.
“Saya menggesa agar siasatan diteruskan sehingga semua persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat dapat dijawab dengan jelas, telus dan meyakinkan,” katanya dalam kenyataan.
Parti Wawasan Johor menyambut baik tindakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi-agensi berkaitan yang menjalankan siasatan itu.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diumumkan setakat ini, pemeriksaan melibatkan lebih 250 warga asing dari 40 negara mendapati semua individu terbabit memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan negara, integriti sistem imigresen dan pematuhan terhadap undang-undang.
Katanya, rakyat berhak mengetahui sama ada operasi yang dijalankan bukan sahaja mematuhi keperluan imigresen, malah memenuhi semua syarat berkaitan pendaftaran institusi, lesen premis, status aktiviti yang dijalankan serta pematuhan kepada undang-undang negara.
“Dalam masa yang sama saya mengiktiraf usaha kerajaan menjadikan Johor sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi melalui pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta usaha menghidupkan semula potensi Forest City.
“Negeri Johor memerlukan pelaburan berkualiti yang mampu menarik bakat global, merangsang inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat,” katanya.
Namun kata Zulkifli, daya tarikan pelaburan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan aspek tadbir urus, pematuhan undang-undang dan kepentingan nasional.
Keyakinan pelabur antarabangsa sebenarnya bergantung kepada kewujudan sistem yang telus, konsisten dan berintegriti, kata beliau.
Menurutnya, ketelusan bukan penghalang kepada pelaburan, sebaliknya menjadi asas pelaburan yang mampan dan diyakini.
Sehubungan itu, Wawasan Johor menggesa kerajaan Persekutuan agar menyelesaikan siasatan secara menyeluruh serta mengumumkan hasil siasatan kepada rakyat bagi mengelakkan ruang kepada spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan awam.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan disaran memperkenalkan satu kerangka dasar dan garis panduan yang jelas terhadap mana-mana komuniti antarabangsa, pusat inovasi atau komuniti baharu yang ingin beroperasi di Malaysia.
Jelasnya, ini supaya setiap aktiviti yang dijalankan mematuhi undang-undang negara, menghormati nilai masyarakat tempatan serta tidak bercanggah dengan dasar keselamatan negara.
Tegasnya, Malaysia mesti kekal sebagai sebuah negara yang terbuka kepada pelaburan dan inovasi.
Namun katanya, keterbukaan tersebut perlu sentiasa berpaksikan kedaulatan negara, keluhuran undang-undang serta kepentingan rakyat Malaysia.
Parti Wawasan Johor akan terus mengikuti perkembangan siasatan iru secara dekat dan berharap semua persoalan yang masih berbangkit dapat dijawab secara terbuka demi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara.- MalaysiaGazette
















