Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mengkaji semula pelaksanaan Program Solar Skala Besar Keenam (LSS6) selepas mendakwa kuota khas bumiputera berkurangan walaupun kapasiti keseluruhan program itu meningkat kepada 2,650 megawatt (MW).

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, LSS6 sememangnya merupakan langkah besar dalam agenda peralihan tenaga negara dengan menawarkan kapasiti solar sebanyak 2,650 MW termasuk 2,500 MW yang digabungkan dengan Sistem Storan Tenaga Bateri (BESS) serta 150 MW solar tanpa BESS khusus untuk syarikat Bumiputera.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan pengurangan kuota khas bumiputera dalam program itu ketika kerajaan memperluaskan kapasiti tenaga boleh baharu negara.

Menurutnya, dalam LSS5, sebanyak 500 MW daripada keseluruhan 2,000 MW diperuntukkan kepada syarikat bumiputera, melibatkan 250 MW untuk syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta 250 MW lagi untuk syarikat atau konsortium yang mempunyai sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan bumiputera.

“Namun dalam LSS6, kuota khas bumiputera hanya tinggal 450 MW, iaitu 300 MW solar bersama BESS di bawah Pakej 2 dan 150 MW solar tanpa BESS di bawah Pakej 3.

“Ini bermakna apabila kapasiti keseluruhan meningkat sebanyak 650 MW atau 32.5 peratus, kuota Bumiputera pula berkurangan sebanyak 50 MW atau 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dari segi peratusan, bahagian bumiputera dalam LSS5 mewakili 25 peratus daripada keseluruhan kapasiti, namun merosot kepada kira-kira 17 peratus dalam LSS6.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai pihak yang bakal menikmati manfaat terbesar daripada pertambahan kapasiti tenaga solar yang diumumkan kerajaan.

Ibrahim turut melahirkan kebimbangan terhadap peluang syarikat Bumiputera berskala kecil yang didakwa semakin terhad dalam LSS6.

Menurut beliau, LSS5 menyediakan projek bersaiz antara satu hingga 10 MW khusus untuk PKS Bumiputera, namun kategori tersebut tidak lagi ditawarkan dalam LSS6 apabila projek terkecil di bawah Pakej 3 bermula pada kapasiti 10 MW hingga 30 MW.

“Pemaju baharu yang mempunyai modal terhad mungkin belum sempat memasuki industri ini, tetapi syarat kemasukan sudah menjadi lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat peruntukan 300 MW untuk bumiputera di bawah Pakej 2, projek yang ditawarkan bersaiz antara 60 MW hingga 500 MW serta diwajibkan menggunakan BESS, sekali gus memerlukan modal besar, tanah, pembiayaan, sambungan grid dan kepakaran teknikal yang tinggi.

Katanya, keadaan itu berisiko menyebabkan syarikat bumiputera hanya berperanan sebagai rakan kongsi minoriti, pemegang saham atas kertas atau kontraktor kecil tanpa pemilikan sebenar terhadap aset dan teknologi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan kapasiti LSS6 sebagai kuota khas bumiputera.

“Daripada 2,650 MW, sebanyak 795 MW sepatutnya diperuntukkan kepada bumiputera. Ini bermakna kuota sedia ada sebanyak 450 MW perlu ditambah sebanyak 345 MW lagi.

“Kerajaan juga perlu menghidupkan semula projek berskala satu hingga 10 MW serta menyediakan pembiayaan dan pemindahan teknologi yang berkesan kepada pemain Bumiputera,” ujarnya.

Tambah beliau, langkah itu perlu selari dengan aspirasi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang menekankan penguasaan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan baharu dan ekonomi hijau.

Beliau menegaskan, peralihan tenaga bukan hanya mengenai jumlah kapasiti tenaga yang dibangunkan, sebaliknya melibatkan aspek pemilikan aset, penguasaan teknologi dan pengagihan manfaat ekonomi secara adil.

“Putra mendesak PETRA mengkaji semula dan memperbetulkan pelaksanaan LSS6 berasaskan prinsip Agenda Ekonomi Bumiputera serta Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast