KUALA LUMPUR – Orang ramai dan semua pihak berkepentingan perlu memberikan ruang serta kepercayaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan untuk menjalankan siasatan secara profesional sehingga selesai dalam isu pemindahan tiga ekor gajah ke zoo di Jepun.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, siasatan isu itu mesti berpaksikan bukti, dokumen, transaksi dan fakta yang boleh disahkan, bukannya semata-mata berdasarkan persepsi, andaian atau naratif mana-mana pihak berkepentingan.
Ujarnya, kritikan terhadap institusi penguatkuasaan tetap penting sebagai mekanisme semak dan imbang, namun hendaklah dibuat secara bertanggungjawab dan tidak mendahului atau membuat kesimpulan sebelum proses siasatan disempurnakan.

“Sekiranya Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PKAM) atau mana-mana pihak mempunyai bukti baharu, dokumen atau fakta kukuh mengenai unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan, bukti tersebut sewajarnya dikemukakan secara rasmi kepada SPRM untuk disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan PKAM yang mempersoalkan ketelusan SPRM dalam siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun.
Pengasas dan Presiden PKAM, Prof. Dr. Santharasekaran Subramaniam berkata, siasatan SPRM seharusnya memberi tumpuan kepada aspek penyelewengan kewangan, penyalahgunaan kuasa dan tatacara kelulusan dokumen rasmi yang berpotensi mempunyai unsur rasuah.
Sementara itu, Jais menegaskan, berdasarkan perkembangan siasatan yang telah diumumkan, dakwaan berkaitan unsur rasuah melibatkan RM53 juta yang dikaitkan dalam isu tersebut setakat ini dilaporkan tidak mempunyai asas.
Katanya, ia termasuk tiada aliran wang atau pembayaran yang dikenal pasti kepada mana-mana pihak berkaitan dakwaan tersebut.
“MCW akan terus menyokong siasatan yang bebas, telus dan berasaskan bukti demi memastikan kebenaran serta kepentingan awam sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















