Orang ramai berpeluang menikmati pemandangan matahari terbenam ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di pantai Sri Tanjung yang diletak di Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Port Dickson atau lebih mesra dikenali sebagai PD sejak sekian lamanya terkenal dengan keindahan pantai dan panorama senja yang tidak dapat dipisahkan.

Buat para pengunjung, dapat melihat keindahan matahari terbenam di seberang laut sememangnya dapat menenangkan jiwa seseorang.

Hilang segala tekanan di tempat kerja dan rasa penat dengan tugasan harian yang tidak habis-habis sekiranya datang ke sini.

Bagi yang tercari-cari kawasan pantai untuk berehat, tidak perlu pergi jauh-jauh untuk menenangkan jiwa yang gelora.

Datanglah ke PD yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur di mana kekal menjadi antara destinasi percutian hujung minggu paling popular di Semenanjung Malaysia.

Orang ramai menikmati pemandangan matahari terbenam ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di pantai Sri Tanjung yang diletak di Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

Pastinya ramai pelancong memilih untuk bersantai petang terutamanya di pantai Sri Tanjung. Pantai ini kaya dengan keindahan semulajadi pasir dan lautan biru serta pengunjung berpeluang melihat matahari terbenam pada senja hari.

Itulah faktor utama pengujung perlu datang ke pantai yang popular dengan suasana amat romantis ini.

Suasana pemandangan yang tidak terucap dengan kata-kata itu dapat dilihat ketika menyusuri pantai setiap petang sambil menanti panorama matahari terbenam.

Dengan desir ombak, bauan pantai dan limpahan cahaya yang kian malap berubah menjadi gelap, semua pengunjung akan bersiap sedia bersama alat teknologi masing-masing bagi merakamkan panorama ini.

Di sini, keindahan matahari terbenam terlihat jelas seperti tenggelam ke dalam lautan. Sesiapapun akan teruja dan jatuh cinta akan fenomena ini. Sebut sahaja matahari terbenam, semua orang pasti terbayangkan suasana di sini.

Orang ramai menikmati pemandangan matahari terbenam ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di pantai Sri Tanjung yang diletak di Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

Bagi anak tempatan Parameswari Sannasi, 60, dia mengakui banyak perubahan yang berlaku di sekitar pantai itu yang aktif dengan pelbagai aktiviti dan sesak pada hujung minggu serta cuti umum.

Kata usahawan itu, banyak gerai-gerai tumbuh bak cendawan yang kini menjadi rezeki buat peniaga kecil B40 terutama buat golongan wanita menceburi bidang perniagaan.

“Sebagai anak tempatan yang lahir di sini, saya sendiri pun kagum dengan kemajuan di Sri Tanjung khususnya kerana pelbagai peluang perniagaan dapat diwujudkan kepada penduduk Port Dickson.

“Ketika ini, jika pengunjung sepanjang jalan di tepi pantai, kita boleh tengok banyak perubahan yang berlaku.

“Sebelum ini, apabila kita berjalan-jalan hanya dapat tengok laut. Tetapi sekarang, kita dapat melihat banyak papan tanda yang canggih dan tempat-tempat duduk yang disediakan untuk pengunjung

“Belum lagi pelbagai gerai jualan juadan dan cenderamata selain pantainya yang juga bersih terjaga sepanjang masa,” katanya.

Penduduk, Parameswari Sannasi, 60, bercakap ketika ditemubual mengenai kebersihan pantai di sekitar Sri Tanjung, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

Sri Tanjung merupakan antara lima Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson

DUN ini diwujudkan hasil daripada persempadanan semula SPR pada tahun 2018 dan dinamakan semula daripada nama asal Port Dickson dengan majoriti kawasan dikekalkan manakala sebahagian kecil dipisahkan untuk membentuk DUN Lukut.

Yang pasti, Sri Tanjung mempunyai segala potensi untuk menjadi sebuah bandar yang lebih hidup, dinamik dan berdaya saing. Apa yang diperlukan ialah perancangan yang baik, pelaksanaan yang berkesan dan komitmen berterusan daripada semua pihak demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast