PORT DICKSON – Rasa hormat dan sikap ambil tahu generasi muda terhadap hak warga emas adalah penting dalam membina masyarakat yang penyayang ke arah sebuah komuniti harmoni.
Bagi calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr Rajasekaran Gunnasekaran berkata, sifat dan sikap itu memerlukan kesinambungan agar kekal merentas generasi dan golongan itu tidak hanya disantuni ketika kempen musim pilihan raya ketika ini.
Malah kata doktor perubatan itu, jiwanya pasti tersentuh apabila bertemu golongan veteran itu yang gemar berkongsi pengalaman hidup mereka sambil mengukir senyuman yang tidak lekang di bibir.
“Satu luangan masa yang sungguh bermakna apabila dapat turun padang menyantuni golongan warga emas Che Teck Khor Moral Uplifting Society.
“Melihat senyuman dan mendengar perkongsian pengalaman daripada golongan veteran ini amat menyentuh hati.
“Mereka telah banyak menabur bakti kepada kelestarian dan keharmonian komuniti kita selama ini.
“Kini, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kebajikan, kesihatan, serta kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya selepas menyantuni warga emas di sebuah pertubuhan kebajikan dan keagamaan di sini.
Rajasekaran merupakan penyandang wakil rakyat di DUN Sri Tanjung selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 dengan majoriti 3,996 undi.
1 Ogos ini, dia akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN), A Achutan dan M Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi PRN16.
Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon Bebas.
Memasuki kempen hari ketiga hari ini, Rajasekaran terus sibuk dengan jadual padat apabila meluangkan masa turun padang ke Kampung Gelam di sini untuk menyantuni seorang yang sedang diuji dengan masalah kesihatan
“Mendengar luahan dan melihat sendiri keadaan penduduk sentiasa menjadi keutamaan saya.
“Kehadiran saya hari ini adalah untuk memberi sokongan moral, berkongsi rasa simpati, dan memastikan mereka tahu bahawa suara mereka didengari,” katanya. – MalaysiaGazette

















