KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Mohd Aidil Abdullah komited memperjuangkan usaha meningkatkan pembangunan sektor pertanian serta mewujudkan semula kemudahan riadah dan sukan untuk golongan belia sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Aidil yang juga calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, dua perkara itu antara isu utama yang dibangkitkan penduduk ketika beliau turun padang menyantuni pengundi di beberapa kawasan sekitar Juasseh yang terletak di Parlimen Kuala Pilah.
Menurutnya, sektor pertanian khususnya sawah padi perlu diberi perhatian memandangkan ia merupakan antara sumber pendapatan utama penduduk setempat selain kebun getah, manakala sebahagian besar golongan muda pula bekerja di luar kawasan.
“Kalau kita tengok di sini ada sawah, sungai dan tali air. Kita tahu apa permasalahan yang dihadapi penduduk.
“Sepatutnya pembangunan pertanian di sini boleh dipergiatkan lagi kerana hasil utama orang kampung adalah sawah padi. Selain itu ada sedikit kebun getah, manakala anak muda pula ramai bekerja di luar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Aidil berkata, sepanjang kempen tiga hari sahaja beliau berjaya menziarahi lebih 500 rumah dari pagi hingga petang dengan sambutan dan maklum balas pengundi yang disifatkannya amat positif.
Mengulas lanjut, Aidil berkata, antara isu yang sering dibangkitkan penduduk terutama di Kampung Terusan ialah kekurangan kemudahan riadah dan sukan untuk golongan belia.
Katanya, penduduk memaklumkan kawasan itu pernah mempunyai kemudahan berkenaan, namun kini sudah tiada dan perlu diwujudkan semula bagi memberi ruang kepada anak muda menjalankan aktiviti yang sihat.
“Di Kampung Terusan, antara isu yang dibangkitkan ialah pembangunan anak muda. Mereka tiada tempat untuk beriadah dan bersukan. Dulu ada tetapi sekarang sudah tiada, jadi kemudahan itu perlu diwujudkan semula.
“Semalam juga saya bertemu kira-kira 20 hingga 30 penduduk dan mendengar sendiri pelbagai isu yang mereka bangkitkan. Jika diberi mandat, inilah antara perkara yang akan menjadi tumpuan saya,” katanya.
Beliau berkata, setiap isu dan keperluan yang dikenal pasti sepanjang kempen akan dihimpunkan sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi tujuan naik taraf dan pelaksanaan sekiranya PH terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.
“Apa juga keperluan yang dibangkitkan penduduk akan kita usahakan melalui saluran kerajaan negeri termasuk mengemukakan permohonan naik taraf berkaitan pertanian dan infrastruktur supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Aidil yang mewakili PKR atas tiket PH berdepan saingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Juasseh.
Beliau dicabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ismail Lasim dan calon Bersatu, Mohd Zuhaimi Md Yusof pada pertandingan yang dilihat antara kerusi tumpuan di Parlimen Kuala Pilah. -MalaysiaGazette















