Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, ketika hadir pada majlis sarapan pagi dan beramah mesra bersama penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Gadong Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHAIMIN MARWAN.

SEREMBAN – Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang menawarkan pelbagai inisiatif untuk rakyat menjadi asas kepada calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak untuk menagih mandat daripada pengundi.

Menurut Ahmad Faez, manifesto bertemakan kerajaan stabil, bersih dan mesra rakyat itu bukan sekadar menawarkan janji baharu sebaliknya meneruskan kesinambungan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.

Antara perkara yang memberi manfaat secara langsung kepada warga Labu ialah projek Hospital Tuanku Ja’far di Bandar Enstek yang telah mendapat kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Bagi saya, antara yang paling menarik dalam manifesto ini adalah Hospital (Hospital Tuanku Ja’far) HTJ2. Hospital ini berada di Bandar Enstek yang terletak di kawasan Labu dan sebenarnya sudah pun lulus di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Insya-Allah, peranan saya apabila menang nanti adalah untuk cuba mengusahakan supaya pelaksanaan hospital ini dapat dipercepatkan,” katanya ketika program sarapan pagi di Kampug Jijan, Labu hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faez berkata, sasaran tambahan 20,000 rumah mampu milik yang ditawarkan PH juga diyakini mampu direalisasikan berdasarkan rekod pelaksanaan dasar perumahan negeri sejak 2018.

Katanya, kerajaan negeri telah mewajibkan pemaju menyediakan rumah mampu milik mengikut kategori tertentu, termasuk jenis A berharga RM110,000, jenis B RM250,000 dan C pada harga RM450,000 bagi memastikan peluang memiliki kediaman dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

“Ini antara manifesto terbaik yang telah dilaksanakan PH pada penggal lalu dan kali ini kita tambah dengan sasaran 20,000 rumah mampu milik. Insya-Allah, bagi saya ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Ahmad Faez berkata, manifesto berkenaan turut memperkukuh skim memperkasakan rakyat yang meliputi bantuan kepada bayi baharu lahir, anak bersekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), belia berkahwin dan warga emas.

Beliau berkata, sebanyak RM960,000 telah disalurkan kepada penduduk DUN Labu menerusi pelbagai inisiatif ketika beliau menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, manakala bantuan untuk warga emas turut ditambah baik dalam manifesto baharu.

Katanya, warga emas berusia 65 hingga 69 tahun akan menerima RM200 setahun, manakala mereka yang berumur 70 tahun ke atas akan menerima RM300 setahun.

“Ini antara inisiatif yang menjadi keistimewaan di Negeri Sembilan. Di mana-mana saya pergi di kawasan Labu, warga emas sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif ini,” katanya.

Ahmad Faez pada masa sama menyeru pengundi DUN Labu supaya terus memberi mandat kepada PH bagi memastikan kesinambungan semua inisiatif yang ditawarkan dalam manifesto berkenaan.

Beliau berkata, keyakinan itu turut bersandarkan rekod pelaksanaan manifesto terdahulu apabila kerajaan negeri didakwa telah mencapai 97 peratus pelaksanaan walaupun tempoh pentadbiran masih belum berakhir.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasakan rakyat dan memberi manfaat kepada rakyat. Kita bukan sekadar tinggal janji, tetapi kita laksanakan apa yang telah dijanjikan,” katanya.

Semalam, PH Negeri Sembilan menggariskan Pakatan Harapan (PH) menggariskan 10 komitmen utama menerusi manifesto sempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pelancaran manifesto disempurnakan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke dan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Komitmen berkenaan meliputi Mengekalkan Kerajaan Stabil, Bersih dan Mesra Rakyat; Memperkasa Skim Sejahtera Rakyat (SSR), Ekonomi Berdaya Saing dan Mewujudkan 30,000 Peluang Pekerjaan Bergaji Tinggi; Pendidikan Berkualti Untuk Semua serta Membina 20,000 Rumah Mampu Milik dan Penyelesaian Isu Tanah.

Selain itu, Belia, Wanita dan Keluarga Diberi Keutamaan; Pembangunan Pelancongan dan Warisan Adat, Kemajuan Seimbang Bandar dan Luar Bandar serta FELDA; Pertanian Moden dan Keterjaminan Makanan; Infrastruktur Strategik dan Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti serta Perpaduan Agama, Keharmonian dan Kemajuan untuk Semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast