SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) N.14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim menyifatkan sambutan pengundi terhadap kempen beliau sepanjang empat hari berkempen berada pada tahap positif walaupun mengakui masih terdapat ruang untuk diperbaiki.
Menurut beliau, gerak kerja kempen dilakukan secara menyeluruh sejak awal pagi sehingga lewat malam dengan memberi tumpuan kepada pendekatan turun padang dan bertemu pengundi secara bersemuka.
Katanya, selain mengunjungi kawasan perumahan, beliau bersama pasukan turut menyantuni peniaga di premis-premis perniagaan sekitar Ampangan.
“Kita berkempen sebelum subuh sehingga selepas solat Isyak. Kita pergi ke surau, masjid dan bertemu pengundi dari rumah ke rumah.
“Kita juga menyantuni peniaga walaupun sebahagian daripada mereka bukan penduduk Ampangan.
“Mereka turut menyumbang kepada ekonomi dan menyediakan keperluan kepada masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette ketika melakukan walkabout di Pasar Ampangan, di sini hari ini.

Menurut Nazri, berdasarkan pemerhatian beliau, majoriti pengundi memberi reaksi yang baik terhadap pasukan PH sepanjang tempoh berkempen.
“Sudah tentu selepas dua penggal mentadbir ada turun naiknya, namun secara umum saya melihat persembahan kita sebagai satu pasukan diterima dengan baik oleh rakyat.
“Ada kelemahan yang perlu kita perbaiki dan Insya-Allah kita akan terus menambah baik gerak kerja sehingga hari pengundian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















