SEREMBAN – Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan tawaran menyeluruh bukan sahaja menumpukan pembangunan fizikal malah memberi perhatian kepada pembinaan jati diri masyarakat.
Calon PH N.14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim berkata, ia merupakan komitmen yang akan dilaksanakan sekiranya PH terus diberikan mandat mentadbir negeri.
“Manifesto merupakan janji kita kepada rakyat. Jika rakyat memberi mandat kepada kita untuk mentadbir, maka menjadi tanggungjawab kita melaksanakan apa yang ditawarkan.
“Ia memberi keseimbangan antara pembangunan fizikal dan material dengan pembangunan jati diri serta sahsiah masyarakat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout di Pasar Ampangan hari ini.

Beliau berkata, manifesto itu turut mencerminkan kesungguhan kerajaan PH dalam menyediakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Jelasnya, rekod pentadbiran kerajaan negeri sejak 2018 membuktikan kemampuan PH melaksanakan pelbagai dasar pembangunan.
“Kita telah membuktikan kesungguhan dan kemampuan mentadbir selama hampir lapan tahun.
“Sebab itu saya berharap manifesto ini dapat diterima secara positif kerana ia lahir daripada pengalaman mentadbir dan memahami keperluan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















