KUALA LUMPUR – Pemain tengah baharu Terengganu FC, Danial Amier Norhisham mengakui dua musim di Kuching City menjadi titik perubahan dalam karier apabila tercalon buat kali kedua dalam kategori Pemain Tengah Terbaik Liga M Awards 2025-2026.
Bagi Danial, pengalaman yang diraih di Johor Darul Ta’zim dan kemudiannya berhijrah ke Kuching City sejak dua musim lalu menjadi pengalaman berharga untuknya terus mencipta nama dan memberi impak.
Beliau juga bersyukur apabila dicalonkan dalam kelompok 10 pemain dalam kategori tersebut.
Tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk meraih trofi melihat kepada kualiti terbaik yang ada pada sembilan calon lain, dia bagaimanapun menganggap pencalonan ini sudah cukup untuk memberi motivasi tambahan kepadanya bagi meneruskan musim baharu bersama Terengganu FC selepas ini.
Paling penting, pemain berusia 29 tahun itu tidak menolak segala peluang yang diberi oleh barisan jurulatih kepadanya untuk turun beraksi sebelum ini cukup untuk membuktikan kualiti yang ada bagi membantu prestasi peribadi dan juga kelab untuk meraih naib juara Liga Super musim lalu.
“Syukur Alhamdulillah atas pencalonan ini dan saya anggap ia satu pengiktirafan yang baik untuk saya. Musim lepas dengan Kuching City memang agak istimewa sebab ini merupakan pencalonan kali kedua.
“Saya rasa minit permainan antara faktor utama saya boleh tercalon dan saya cuba untuk tunjukkan kualiti sebenar daripada perlawanan ke perlawanan lain untuk terus mendapatkan kepercayaan daripada jurulatih.
“Bagi saya, dua musim di Kuching City cukup memberikan pengalaman berbeza di mana sebelum ini kami di kedudukan 4 terbaik liga dan seterusnya bertambah baik, dapat berada di tangga kedua. Jadi, ia memang sesuatu di luar jangkaan dan impian yang dah tercapai ketika di sana,” jelasnya kepada Liga Bolasepak di sini.
Untuk rekod, Danial telah beraksi dalam 20 perlawanan secara keseluruhan musim lalu dengan 1089 minit perlawanan dan turut meraih satu jaringan.
Baginya, dia tidak ingin terlalu bergantung kepada statistik sebaliknya berharap dapat terus memberikan pengaruh yang lebih baik dalam sesuatu perlawanan untuk membantu Terengganu FC pada musim pertamanya bersama kelab itu nanti.
“Sebelum ini kita tahu Terengganu berada di tahap mana, satu pasukan yang mempunyai latar belakang yang baik, dan saya hanya nak jadi diri sendiri menyumbang seberapa banyak kepada pasukan ini.
“Saya tidak mahu fikir sangat pasal statistik dan sejauh mana saya boleh bantu pasukan adalah kayu ukuran sebenar dan saya akan cuba untuk mendapatkan keserasian di sini (Terengganu) dengan lebih baik,” tambahnya.
Selain Danial, sembilan lagi pemain yang turut tercalon dalam kategori Pemain Tengah Terbaik adalah Akhyar Rashid (Terengganu FC), Nooa Laine (Selangor FC), Nor Azam Azih (Kelantan The Real Warriors FC) dan Syahir Bashah (Selangor FC).
Calon lain adalah Ryan Lambert (KL City FC), Stuart Wilkin (JDT), Fadzrul Danel (Imigresen FC, kini dijenamakan sebagai Star City FC), Afiq Fazail (JDT), Firdaus Saiyadi (Penang FC). – MalaysiaGazette
















