Calon Bersatu N.14 Ampangan, Noor’Azah Harun menyantuni peniaga dan penduduk sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pasar Tani, Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2026.

SEREMBAN – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) N.14 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Noor’Azzah Harun berazam membuktikan wanita juga mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat meskipun berdepan saingan tiga penjuru yang didominasi calon lelaki.

Noor’Azzah, 48, berkata, statusnya sebagai satu-satunya calon wanita di kerusi itu menjadikan setiap gerak kerja kempen sentiasa mendapat perhatian sekali gus memerlukannya bekerja lebih keras untuk meyakinkan pengundi.

“Sudah tentu cabarannya besar kerana saya seorang sahaja calon wanita. Apa sahaja yang saya lakukan akan diperhatikan.

“Saya percaya wanita hari ini bukan lagi seperti tanggapan sesetengah pihak. Wanita juga mampu berdiri sama tinggi dan memainkan peranan penting dalam kepimpinan,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Pasar Ampangan hari ini.

Calon Bersatu N.14 Ampangan, Noor’Azah Harun menyantuni peniaga dan penduduk sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pasar Tani, Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2026.

Beliau berkata, pengalaman sebagai wanita berkerjaya, isteri dan ibu memberikan kelebihan untuk memahami cabaran kehidupan rakyat khususnya golongan wanita serta keluarga.

“Saya berharap pengundi memberi kepercayaan kepada saya. Insya-Allah saya akan buktikan wanita juga mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Calon Bersatu N.14 Ampangan, Noor’Azah Harun bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pasar Tani, Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2026.

Selain itu, kata Noor’Azzah, penerimaan pengundi terhadap kempen beliau setakat hari keempat berada pada tahap memberangsangkan dan positif hasil turun padang bersama pasukan kempen ke pelbagai lokasi di kawasan Ampangan.

“Memang ada satu dua yang memberi reaksi berbeza tetapi itu perkara biasa dalam demokrasi. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan penerimaan masyarakat.

“Saya akan terus mempergiatkan gerak kerja kempen secara bersemuka kerana pendekatan itu membolehkan saya mendengar sendiri permasalahan penduduk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast