PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegur pihak-pihak tertentu dalam Kerajaan Madani supaya tidak membawa isu dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, tindakan sedemikian boleh mengelirukan pengundi selain menjurus kepada elemen yang memecahbelahkan.
“Isu yang dibangkitkan itu kadang-kadang memberikan satu gambaran yang mengelirukan masyarakat setempat.
“Kita tak nak itu berlaku memandangkan yang bercakap itu adalah individu daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Aminuddin ditanya berkenaan kenyataan-kenyataan daripada pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang dilihat menyerang sesama sendiri ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan ketika ini.
Menurut beliau, setiap pemimpin parti politik khususnya yang berada dalam Kerajaan Perpaduan perlu tahu membezakan antara serangan dan teguran yang dibuat terhadap Kerajaan Madani.
Malah, ujarnya, sebarang rasa tidak puas hati atau isu-isu berbangkit juga sepatutnya dibangkitkan menerusi saluran-saluran yang sepatutnya.
“Kalau melibatkan syarikat milik kerajaan (GLC), kita tegur melalui saluran itu.
“Kita tak nak nanti kita pun akan bercakap tentang kegagalan-kegagalan, sedangkan kita dalam Kerajaan Perpaduan sama.
“Kerana itu lebih baik isu Kerajaan Persekutuan ini tidak dibawa untuk memecahbelahkan ataupun mengelirukan masyarakat di Negeri Sembilan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

















isu persekutuan takleh pakai kat PRN N9 tp aset persekutuan dan kerja persekutuan, boleh pulak guna sbg modal di PRN N9. Kebijakan apakah ini..
isu tempatan pun makan tak habis, lagi nk buat ayat seolah N9 elok kau jaga yer.