Warga kerja SSM bergotong-royong membersikan Rumah Seri Kenangan Cheras sempena Program Sentuhan Kasih yang diadakan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyalurkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah lebih RM100,000 kepada Rumah Seri Kenangan Cheras sempena Program Sentuhan Kasih yang diadakan baru-baru ini.

Program ini bertujuan menyampaikan sumbangan dan bantuan keperluan harian kepada penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras dan memberi peluang kepada warga kerja SSM melaksanakan aktiviti kesukarelawanan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penghuni rumah berkenaan.

Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM80,408 sumbangan Wakalah Zakat Korporat disampaikan kepada Rumah Seri Kenangan Cheras bagi keperluan rawatan dan peralatan perubatan.

Selain itu, SSM juga menyumbangkan RM20,000 melalui dana CSR bagi sumbangan kebajikan dan pengoperasian rumah tersebut.

Majlis sumbangan ini telah disempurnakan oleh Aznorashiq Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM, mewakili Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM kepada Datuk Seri Zulkeflee Hazeh, Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Cheras.

Seramai 65 warga kerja SSM berpeluang menyantuni dan beramah mesra bersama para penghuni, di samping bergotong-royong untuk membersihkan persekitaran Rumah Seri
Kenangan Cheras bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan selesa.

Pada tahun-tahun sebelum ini, SSM telah menyalurkan sumbangan kepada beberapa projek di bawah JKM dari tahun 2021 hingga 2025 termasuk Projek Bakeri di Sekolah Tunas Bakti Taiping, Projek Perkhidmatan Dobi di Bengkel Daya Sungai Petani dan Projek Keusahawanan Sosial Peserta 2YEP 2023 dengan jumlah sumbangan lebih RM430,000.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2026, SSM telah mengagihkan lebih RM4.6 juta dana Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 6,096 penerima asnaf di seluruh negara.

Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM430,000 melalui pelbagai program CSR kepada 907 penerima yang memerlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast