Menteri Besar Negeri Sembilan yang calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap ketika ditemubual semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Tanjung Agas, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 21 JUALI 2026.

PORT DICKSON – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sikap dan pendirian Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam berpolitik.

Menteri Besar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu berkata, apa yang berlaku dalam kerjasama bersama PH di Negeri Sembilan membuktikan BN-UMNO hanya memikirkan tentang kuasa.

Menurut beliau, BN-UMNO sanggup meninggalkan persahabatan yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan selepas berasakan mempunyai sedikit kekuatan dan beranggapan akan kembali berkuasa.

“Kita lihat bagaimana apabila ada sedikit kekuatan, ada sedikit kuasa yang mereka rasa mereka akan berkuasa, mereka tinggalkan persahabatan.

“Ini yang berlaku sejak sekian lama, sedangkan sebelum ini kita tahu bagaimana keadaan mereka.

“Akhirnya hari ini apa yang berlaku di Negeri Sembilan akan berlaku di peringkat Pusat.

“Itu yang kita kata rakyat kena sedar.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan menunjukkan bagaimana mereka memikirkan hanya tentang kuasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi rumah penduduk di sekitar Kampung Tanjung Agas, Linggi di sini, petang semalam.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni dan menziarahi penduduk sekitar sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Tanjung Agas, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2026.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan ditanya berkenaan kenyataan Pengerusi BN yang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan polemik isu peletakan jawatan pemimpin BN dalam Kerajaan Madani.

Mengulas lanjut polemik itu, beliau berkata, apa yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini hanyalah berupa pandangan supaya mana-mana pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi hubungan.

Namun, ujarnya, pemimpin BN dan UMNO bagaimanapun memberi maklum balas yang disifatkan lebih kasar sehingga termasuk mencabar supaya Anwar memecat mereka.

Malah, beliau turut menyifatkan cabaran sedemikian sebagai sesuatu yang tidak wajar apatah lagi diucapkan oleh seorang pemimpin yang disifatkan merupakan rakan baik kepada Anwar sendiri.

“Isunya bukan itu (supaya dipecat atau letak jawatan), isunya ingatan supaya menghargai persahabatan ini,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni dan menziarahi penduduk sekitar sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Tanjung Agas, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2026.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri boleh memecat beliau dan semua menteri daripada BN sekiranya tidak menyukai mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak melihat sebarang sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN meletak jawatan, selepas Anwar mendakwa mereka yang menyerang rakan dalam kerajaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan harus berundur. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast