Timbalan Setiausaha Agung, Saifuddin Shafi Muhammad

SEREMBAN – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak terlalu angkuh sambil menyifatkan UMNO masih bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan imej serta mengekalkan kedudukan parti itu dalam kerajaan.

Saifuddin berkata, reaksi pantas beberapa pemimpin kanan UMNO yang menggesa Perdana Menteri memecat menteri dan timbalan menteri daripada parti itu susulan teguran berhubung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan secara tidak langsung mengesahkan teguran berkenaan memang mempunyai asas.

“Teguran Perdana Menteri amat jelas ditujukan kepada mereka yang menyerang Kerajaan Perpaduan. Agak menghairankan apabila ramai pemimpin kanan UMNO begitu responsif meminta Perdana Menteri menggunakan kuasa beliau untuk menggugurkan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO.

“Reaksi itu seolah-olah mengesahkan bahawa teguran Perdana Menteri itu memang berasas malah secara tidak langsung mengakui wujud serangan bawah tanah terhadap komponen dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen.

Beliau berkata, teguran Perdana Menteri itu bukan bersifat peribadi terhadap mana-mana individu sebaliknya bertujuan mengelakkan pertembungan di peringkat nasional supaya Kerajaan Madani dapat terus memberi tumpuan kepada pentadbiran negara.

Mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam, Saifuddin mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu tidak seharusnya bercakap dengan nada angkuh seolah-olah parti berkenaan kembali mendapat sokongan padu orang Melayu.

“Apabila nada Ahmad Zahid kedengaran angkuh kerana menganggap UMNO sudah mendapat sokongan orang Melayu, itu tidak betul.

“‘Monkey see, monkey do. Sebab itu pemimpin bawahan UMNO semakin galak memekik dan menyerang,” tegasnya.

Saifuddin turut mendakwa UMNO perlu mengakui hakikat  parti itu masih bergantung kepada kepimpinan Perdana Menteri untuk memulihkan semula keyakinan rakyat.

“Sedar diri. Tanpa Perdana Menteri, UMNO ibarat melukut di tepi gantang. UMNO diberi peluang memulihkan imej apabila diberikan pelbagai kementerian penting. Ahmad Zahid sendiri semalam berucap berlatarbelakangkan logo Kemas, belum lagi tanggungjawab menguruskan Felda,” katanya.

Beliau turut mendakwa UMNO tidak mampu mengangkat agenda penyatuan Melayu tanpa sokongan Pas.

“Malah tanpa Pas, tiada siapa pun memandang UMNO. UMNO tidak berjaya menyatukan orang Melayu. Dengan retorik penyatuan yang dibawa Pas, barulah sebahagian orang Melayu kembali memberi perhatian kepada UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Ahmad Zahid juga bernasib baik kerana tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Patut bersyukur kerana Ahmad Zahid bernasib baik tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika zaman Tun Dr Mahathir. Ketika itu, kena ISA pun beberapa hari sahaja,” katanya.

Mengimbau krisis politik 1998, beliau berkata, situasi ketika itu jauh berbeza berbanding hari ini kerana rakyat kini mempunyai akses kepada pelbagai saluran maklumat.

“1998 adalah cerita yang berbeza. Zaman pemimpin dijatuhkan melalui tikam-menikam dan jalan belakang telah berlalu. Ketika itu tanpa media sosial pun hampir tumbang Mahazalim. Kali ini, jika perlu, kami akan melawan habis-habisan.

“Kami yakin rakyat akan bersama-sama mempertahankan Perdana Menteri, demokrasi dan kestabilan negara,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid seolah-olah mencabar Perdana Menteri supaya memecat sahaja menteri dan timbalan menteri daripada UMNO sekiranya tidak bersetuju dengan kerjasama parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) dan Pas pada PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peringatan Anwar yang meminta semua menteri dan timbalan menteri daripada parti-parti dalam kerajaan Perpaduan mengelakkan serangan sesama sendiri sepanjang kempen bagi memastikan tumpuan kerajaan kekal kepada urusan mentadbir negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. PH dan bodoh berpisah tiada, sendiri yang cakap sendiri yang koyak. sibuk suruh orang letak jawatan bila orang balas balik acah-acah tersakiti. BODOH PH.

  2. Bodoh punya PH..bukan PH kaaa yg pergi merayu kepada UMNO utk bentuk kerajaan Persekutuan sebab tak cukup keruai? Ko ingat tanpa UMNO, Nuar Berahim boleh jadi PM kaaa? Mimpi laaa

Comments are closed.