Temubual Eksulusif SkopMG bersama Bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming di Pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Gabungan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan awal untuk menguasai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ia berdasarkan pergerakan sentimen pengundi pada minggu pertama kempen.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, naratif perpaduan Melayu yang dibawakan oleh gabungan berkenaan mewujudkan persaingan sengit yang agak sukar dibendung oleh Pakatan Harapan (PH).

“Jika kelebihan itu diterjemahkan kepada kemenangan, jumlah kerusi yang dimenangi mungkin tidak sebanyak pencapaian di PRN Johor sebelum ini.

“Tetapi, kelebihan semasa jelas memihak kepada gabungan berkenaan,” katanya menerusi program SKOP MG.

Katanya, perpaduan Melayu itu sangat kuat dan ia boleh diterjemahkan di kertas undi.

“Kalau kita tengok, BN hanya bertanding 25 kerusi dan PN pula 11 kerusi. Tidak mungkin BN akan menang di semua kerusi tetapi jika gabungan ini berjaya sebuah kerajaan gabungan rentas parti akan berlaku.

“Ditambah dengan sentimen atau hal-hal yang berlaku terhdap PH khususnya DAP ketika berkempen di Johor beberapa minggu lalu,” katanya lagi.

Jelasnya, melihat kepada corak kempen minggu pertama, ternyata DAP sudah mula menurunkan nada berkempen.

“Kita dapat lihat mereka lebih kepada perkenalkan calon dan siri-siri kejayaan kerajaan negeri. Harapannya agar ia berterusan kerana melihat kepada jumlah pengundi yang balik ke Johor meningkat dan sokong BN kerana marah dengan DAP,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang membayangkan parti itu boleh kehilangan kerusi akibat peratusan keluar undi yang rendah, Kian Ming melihat amaran itu didorong oleh gabungan analisis data dan strategi perang psikologi.

“Jika kadar keluar undi dalam kalangan penyokong PH merosot manakala pengundi BN dan PN meningkat, DAP berdepan risiko kehilangan kerusi manakala lima kerusi PKR serta satu kerusi Amanah turut terdedah kepada bahaya.

“Pada masa sama, situasi di kerusi panas N01 Chennah yang disandang Anthony Loke dari DAP juga dalam kedudukan kurang baik di mana komposisi pengundi Melayu dan bukan Melayu berada pada kadar seimbang sekitar 50 peratus.

“Saya tidak menolak kemungkinan BN akan menggunakan strategi saat akhir menjelang minggu kedua kempen bagi memikat pengundi di kawasan tersebut yang menyaksikan pertembungan antara Anthony dan calon dari BN iaitu Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Kong Choon,” katanya lagi.

Kian Ming berkata, antara bentuk strategi yang mungkin dipertimbangkan termasuklah pengumuman daripada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai tawaran jawatan Exco Kerajaan Negeri kepada Kong Choon jika berjaya menewaskan Anthony.

“Langkah itu berupaya mempengaruhi pertimbangan pengundi bukan Melayu yang mahukan wakil dalam barisan pentadbiran negeri jika dapatan badan kaji selidik menunjukkan BN dan PN berpeluang membentuk kerajaan.

“Tetapi strategi sedemikian masih mempunyai risiko tersendiri kerana ia boleh mencetuskan tindak balas negatif daripada pengundi yang kekal mempertahankan kepimpinan Anthony Loke di kawasan berkenaan,” katanya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast