Hamzah ditemui media sejurus program Ceramah Gelombang Biru dan Majlis Memperkenalkan Calon BN-PN bagi DUN Gemas, Gemencheh dan Repah di Felda Bukit Rokan, malam tadi.

TAMPIN – Perikatan Nasional (PN) mencadangkan satu penjenamaan baharu bagi kerjasama politiknya dengan Barisan Nasional (BN) menerusi nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi medan pertama untuk menguji keberkesanan gabungan tersebut.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, identiti baharu itu dicadangkan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan susulan persefahaman yang dimeterai menjelang PRN Negeri Sembilan.

Menurut beliau, apa yang lebih penting bukan sekadar nama sebaliknya semangat kerjasama untuk membentuk kerajaan negeri, manakala penjenamaan rasmi boleh diperhalusi kemudian.

“Kita hendak namakan gabungan ini supaya orang tidak keliru lagi apabila Negeri Sembilan menjadi titik permulaan kepada Perikatan Barisan Nasional kerana ramai masih sukar memahami kerjasama PN-BN.

“Yang penting ialah semangat untuk kita bersama-sama menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Gelombang Biru dan Majlis Memperkenalkan Calon BN-PN bagi DUN Gemas, Gemencheh dan Repah di Felda Bukit Rokan malam tadi.

Hamzah Zainudin

Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, cadangan penggunaan nama PBN akan dibawa ke peringkat kepimpinan tertinggi parti-parti terlibat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan PRN Negeri Sembilan sebagai pertembungan antara gelombang biru dan gelombang merah sambil menyuarakan keyakinan bahawa gabungan BN-PN mampu menamatkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu sekiranya memperoleh mandat majoriti rakyat.

Mengulas kerjasama yang dimeterai, Hamzah mengakui masih terdapat penyokong di kedua-dua pihak yang belum dapat menerima gabungan tersebut sepenuhnya berikutan pengalaman politik lalu.

Bagaimanapun, beliau percaya perkara itu dapat diatasi menerusi pertemuan serta gerak kerja bersama di peringkat akar umbi.

“Pada peringkat awal, biasalah manusia mempunyai perasaan, ada yang kecewa kerana pengalaman lalu namun perkara itu boleh diselesaikan apabila kita bertemu.

“Sebab itu pertemuan antara BN dan PN diadakan lebih awal supaya selepas ini kita dapat turun bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan pengundi memahami apa yang ingin kita lakukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hamzah mendedahkan, kedua-dua gabungan turut mencapai persefahaman bahawa BN akan menerajui pentadbiran Negeri Sembilan sekiranya berjaya membentuk kerajaan baharu selepas PRN.

Menurutnya, kejayaan kerjasama itu bukan sahaja mampu mengubah landskap politik Negeri Sembilan, malah berpotensi menjadi model kepada kerjasama lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Jika kita berjaya menumbangkan kerajaan PH dan menggantikannya dengan kerajaan baharu PBN di Negeri Sembilan, ia akan memberi keyakinan kepada rakyat di seluruh negara bahawa gabungan ini mampu menyelesaikan pelbagai perkara yang tidak memuaskan hati mereka melalui sistem demokrasi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, gagasan Konsensus Nasional Baharu yang diperkenalkannya bertujuan membina sebuah negara yang lebih maju, makmur dan sejahtera dengan kerjasama BN-PN dilihat sebagai antara langkah awal ke arah merealisasikan agenda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast