JEMPOL – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir bertekad meneruskan tiga projek pembangunan utama yang masih tertangguh sekiranya diberi mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau yang dikenali Tok D mewakili Barisan Nasinal (BN) berkata, sepanjang tempoh kira-kira dua tahun lapan bulan sebagai wakil rakyat, pelbagai komitmen kepada penduduk telah berjaya dilaksanakan.
Namun jelasnya, terdapat tiga agenda yang belum sempat direalisasikan disebalik pelbagai bukti hasil kerjanya yang telah ditunaikan selama dua tahun lapan bulan komitmennya sebagai wakil rakya demi kesejahteraan penduduk Jeram Padang.
“Ada tiga lagi agenda saya sebelum ini yang masih tergendala sebab tempoh DUN hanya dua tahun lapan bulan antaranya pembinaan sebuah mini stadium di Pekan Rompin sebagai kemudahan sukan dan aktiviti komuniti.
“Selain itu, pemasangan lampu jalan bermula dari simpang di Bahau sehingga ke Pekan Rompin bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, selain menyiapkan pembinaan jalan alternatif ke Kampung Orang Asli Panchor,” katanya ketika ditemui ketika kempen di Felcra Rompin di sini hari ini.

Mengulas pendekatan kempen, Mohd. Zaidy b akan terus berpegang kepada arahan kepimpinan BN supaya berkempen secara matang dan berhemah tanpa menyerang peribadi mana-mana calon.
Katanya, fokus kempen BN adalah menjelaskan rekod pencapaian sepanjang menjadi wakil rakyat serta menawarkan agenda pembangunan yang mahu diteruskan jika diberi mandat sekali lagi.
“Kita kali ini berkempen secara berhemah, tidak menyerang peribadi, tidak menghina. Kita hanya berkempen untuk memberi apakah harapan kepada masyarakat sekiranya BN diberi peluang dan apakah agenda kita nak buat,” katanya. – MalaysiaGazette
















