JEMPOL – Memperkasakan golongan belia dan wanita Orang Asli menerusi pembangunan bakat, latihan kemahiran serta keusahawanan menjadi antara fokus utama calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Dayana Dal.
Suri rumah berusia 40 tahun dari suku Semelai berasal dari Kampung Orang Asli Jeram Padang itu berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi medan buatnya merealisasikan hasratnya itu selepas 1 Ogos ini.
“Saya mahu mengenal pasti bakat golongan belia untuk diketengahkan mengikut bidang yang diminati bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran di kampung.
“Usaha ini bukan sahaja dapat membantu belia memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan minat mereka, malah mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam komuniti Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette ketika berkempen di Kampung Orang Asli Langkap Dangi di sini dan ditemani Presiden ASLI, Rashid Ka.
Bagi golongan wanita pula, Dayana bercadang menyediakan lebih banyak peluang mengikuti kursus kemahiran dan memperoleh sijil bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri.
“Wanita yang mempunyai kemahiran seperti menjahit juga akan dibantu dengan menyediakan ruang dan sokongan supaya mereka dapat memulakan perniagaan secara sambilan,” katanya.
Selain itu beliau turut mahu memberi perhatian kepada isu bekalan air bersih yang masih membelenggu beberapa perkampungan Orang Asli di Jeram Padang.
Katanya, isu itu perlu diselesaikan segera kerana ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan apabila ada yang terpaksa menggunakan sumber air yang tercemar.
Dayana merupakan antara empat calon yang bertanding di DUN Jeram Padang pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Beliau berdepan saingan penyandang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN), G. Manivannan daripada Pakatan Harapan (PH) dan R. Sri Sanjeevan daripada Bersatu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 28 Julai, manakala hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ialah pada 1 Ogos. – MalaysiaGazette















