EMPAT hari berkempen sudah cukup untuk menunjukkan satu perkara yang menarik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
Walaupun calon Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke terus menjadi sasaran naratif yang mengaitkan DAP dengan sentimen kaum namun ia seperti tidak berkesan.
Sebaliknya ramai pengundi di Chennah sudah lama mengenali Anthony sebagai wakil rakyat mereka, bukan sekadar Setiausaha Agung DAP.
Itulah kelebihan yang tidak boleh dibina dalam tempoh kempen dua minggu, ia mengambil masa lebih sedekad.
Anthony mula menjadi wakil rakyat Chennah pada 2013 dan sepanjang tempoh itu, beliau bukan sahaja membina rekod pembangunan kawasan malah membina hubungan yang rapat dengan masyarakat pelbagai kaum termasuk di kampung-kampung Melayu.
Di situlah bezanya Chennah dengan banyak kawasan lain.
Ramai pengundi di sini membuat penilaian berdasarkan apa yang mereka lihat sendiri bukan semata-mata berdasarkan persepsi yang dibentuk ketika musim pilihan raya.
Lebih menarik lagi, Anthony dilihat cukup berhati-hati apabila menyentuh perkara yang berkaitan dengan institusi Melayu di Negeri Sembilan.
Bagi beliau, institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Adat Perpatih bukan isu politik yang boleh dijadikan bahan kempen.
Malah ketika melancarkan calon Pakatan Harapan bagi PRN Negeri Sembilan, beliau secara terbuka mengingatkan semua ahli dan petugas DAP supaya menjaga tutur kata serta tidak sesekali mempermainkan sistem adat Negeri Sembilan.
Anthony turut menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan tidak menghormati institusi berkenaan serta bersedia memohon maaf sekiranya berlaku keterlanjuran.
Kenyataan itu mungkin kelihatan biasa namun bagi masyarakat negeri ini,ia membawa maksud yang jauh lebih besar.
Negeri Sembilan mempunyai sistem adat yang unik dan tidak terdapat di negeri-negeri lain. Institusi Undang Yang Empat serta Adat Perpatih bukan sekadar warisan budaya malah menjadi sebahagian daripada sistem kenegaraan yang dihormati sejak ratusan tahun.
Sebab itu, apabila berlaku polemik melibatkan institusi adat sebelum ini, Anthony juga mengambil pendekatan yang sama, tidak jadi ‘hero’.
Sebaliknya beliau menegaskan, semua pihak perlu menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan membiarkan proses yang ditetapkan berjalan mengikut lunas perlembagaan negeri.
Pendekatan itu mungkin tidak mendapat perhatian besar di peringkat nasional, tapi di Negeri Sembilan, ia memberi isyarat bahawa beliau memahami satu perkara penting.
Adat bukan untuk dipolitikkan. Mungkin atas sebab itu juga, Anthony jarang dilihat menggunakan sentimen kaum ketika berkempen di Chennah.
Sebaliknya, beliau lebih banyak bercakap mengenai pembangunan, ekonomi, peluang pekerjaan, kemudahan awam dan kesinambungan dasar kerajaan negeri.
Pendekatan sedemikian sedikit demi sedikit membentuk keyakinan bahawa beliau hadir sebagai wakil rakyat kepada semua penduduk, bukan hanya kepada satu kaum.
Sudah tentu tidak semua pengundi Melayu akan menyokong beliau, itu adalah lumrah dalam demokrasi.
Namun apa yang dapat diperhatikan sepanjang empat hari kempen ialah isu kaum tidak lagi menjadi satu-satunya ukuran untuk menilai Anthony.
Ramai pengundi lebih cenderung membandingkan naratif yang mereka dengar dengan pengalaman mereka sendiri sepanjang beliau menjadi wakil rakyat.
Jika jalan kampung diselesaikan, jika sekolah mendapat perhatian, jika surau dan rumah ibadat pelbagai kaum dibantu, jika wakil rakyat mudah ditemui apabila rakyat memerlukan bantuan maka perkara-perkara itulah yang akhirnya menjadi ukuran.
Hakikatnya, lebih mudah menyerang sebuah parti daripada menjatuhkan seorang wakil rakyat yang sudah lama membina kepercayaan di kawasannya.
Dan mungkin di situlah terletaknya kekuatan Anthony di Chennah, bukan kerana isu kaum sudah hilang daripada politik Malaysia.
Tetapi kerana selepas lebih sedekad bersama masyarakat setempat, ramai pengundi memilih untuk menilai beliau berdasarkan apa yang telah dilakukannya bukannya berdasarkan label yang terus dilekatkan kepada parti yang diwakilinya.
PRN Negeri Sembilan kali ini akhirnya akan menentukan sama ada rekod perkhidmatan mampu terus mengatasi naratif yang saban kali muncul setiap kali musim pilihan raya. -MalaysiaGazette
















