KUALA PILAH – Kesejahteraan rakyat perlu terus menjadi keutamaan kerana hanya masyarakat yang menikmati peluang serta manfaat pembangunan mampu menggerakkan Pilah ke arah masa depan yang lebih maju, stabil dan berdaya saing.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, hasrat itu menjadi asas kepada visinya untuk memastikan pembangunan di kawasan berkenaan terus memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
“Kita mahu rakyat DUN Pilah berdaya saing dan membangunkan Pilah bersama-sama. Keutamaan saya ialah memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Bila rakyat sejahtera, Pilah juga akan terus maju, stabil dan menjadi sebuah kawasan yang mampu menawarkan kehidupan lebih baik kepada semua,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau berkata, manifesto PH Negeri Sembilan yang dilancarkan baru-baru ini turut mencerminkan komitmen tersebut apabila memberi penekanan kepada usaha memperkukuhkan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai penambahbaikan inisiatif berdasarkan maklum balas masyarakat.
Menurutnya, antara penambahbaikan yang diumumkan ialah peluasan bantuan kepada warga emas apabila had umur kelayakan diturunkan daripada 70 tahun kepada 65 tahun, membolehkan lebih ramai golongan itu menerima manfaat.
Selain itu, katanya, bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi turut dipertingkatkan menerusi kenaikan kadar bantuan serta syarat permohonan yang lebih inklusif.
“Malah syarat kelayakan pendapatan isi rumah juga ditambah baik daripada RM4,000 kepada RM8,000. Ini membolehkan lebih ramai keluarga menikmati bantuan yang disediakan kerajaan negeri.
“Semua penambahbaikan ini dibuat selepas kita mendengar sendiri pandangan rakyat dan melihat keperluan sebenar mereka. Sebab itu manfaatnya akan dirasai lebih ramai golongan masyarakat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noorzunita akan terus memperhebatkan siri santunan dari rumah ke rumah di kampung dan kawasan perumahan sepanjang baki tempoh kempen bagi mendengar sendiri harapan serta permasalahan penduduk.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap suara rakyat diberi perhatian selain membolehkan penyelesaian yang lebih tepat dapat dirangka sekiranya beliau terus diberi mandat mewakili DUN Pilah.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, Noorzunita yang juga penyandang DUN Pilah mempertahankan kerusi berkenaan dalam saingan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN) S Leza Md Yasin pada PRN Negeri Sembilan ke-16. – MalaysiaGazette
















