GEORGE TOWN – Seorang pekerja kitar semula ditahan bersama 3.1 kilogram (kg) dadah jenis MDMA bernilai RM470,000 dalam serbuan di sebuah rumah kampung di Teluk Air Tawar, Butterworth pada 20 Julai lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, serbuan itu dijalankan hasil risikan dan tindakan pasukan polis yang berjaya mengesan aktiviti penyimpanan dadah di lokasi berkenaan.
“Suspek lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah yang menyasarkan pasaran kelab hiburan.
“Dadah MDMA yang dirampas itu dianggarkan mempunyai nilai RM470,000 dan dipercayai untuk pasaran kelab dengan harga jualan sekitar RM150 satu paket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.
Tambah beliau, suspek kini ditahan reman sehingga 27 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette















