Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon Pakatan Harapan N.14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim beramah mesra bersama penduduk setempat pada Program Santai Petang Warga Ampangan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Medan Selera Benteng Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengundi supaya memilih wakil rakyat yang berintegriti serta benar-benar berkhidmat kepada masyarakat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pemimpin yang dipilih perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya mengejar keuntungan peribadi atau kepentingan pihak tertentu.

“Apabila kita pilih wakil rakyat, pilihlah orang yang mahu menjaga rakyat.

“Jangan pilih orang yang akhirnya hanya menjaga kepentingan dirinya sendiri,” katanya ketika berucap pada program ramah mesra di Medan Selera Ampangan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, negara memerlukan pemimpin yang mempunyai maruah, amanah dan sanggup bekerja untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Pilih orang yang ada maruah, boleh menjaga orang Melayu, India, Cina dan semua rakyat Malaysia.

“Kalau kita pilih pemimpin seperti itu, insya-Allah masa depan negara akan lebih selamat,” katanya.

Anwar turut mengajak rakyat terus berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT selepas melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kita berikhtiar, kita berusaha, tetapi akhirnya kita bertawakal kepada Allah kerana Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast