SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sekadar bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan untuk ‘kacau daun’ atau memecahkan undi parti lain, sebaliknya berhasrat membentuk kerajaan negeri dengan menawarkan dasar ekonomi yang jelas kepada rakyat.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu hadir dalam PRN kali ini dengan keyakinan mampu mengurus pentadbiran negeri berdasarkan pengalaman parti itu mengurus kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Ada orang kata ini kacau daun, kita ada kekuatan yang parti lain tidak ada untuk bertanding sendiri.
“Kita sanggup untuk bertanding sebab kita tahu situasi di Negeri Sembilan ini banyak sangat masalah yang tidak selesai. Bukan setakat nak masuk bertanding tapi nak menang nak bentuk kerajaan, bukan nak kacau daun,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada program minum santai di DUN Labu, di sini, sempena PRN Negeri Sembilan.
Hadir sama, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon Bersatu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Hanif Abu Bakar.
Menurutnya, antara keutamaan Bersatu sekiranya diberi mandat adalah memperkukuh ekonomi negeri, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat serta memastikan masa depan generasi muda terus terbela.
Katanya, Bersatu mahu merangka dasar pembangunan yang lebih mantap bagi memastikan Negeri Sembilan terus berkembang dan mencapai tahap kemajuan lebih tinggi berbanding sebelumnya.
“Kalau nak tanya Negeri Sembilan dah maju atau belum, saya kata sudah maju. Tetapi kemajuan itu tidak boleh berhenti setakat ini.
“Niat kita ialah untuk mencapai satu tahap kehidupan yang jauh lebih maju dan berjaya daripada apa yang kita ada pada hari ini,” katanya.
Muhyiddin berkata, isu ekonomi dan kos sara hidup merupakan antara perkara utama yang menjadi kebimbangan rakyat berdasarkan kajian yang dijalankan beberapa badan penyelidikan.
Menurutnya, peningkatan harga barangan keperluan termasuk makanan memberi tekanan kepada rakyat dan memerlukan tindakan kerajaan yang lebih berkesan.
Beliau mendakwa kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal menunjukkan kelemahan dalam pengurusan ekonomi serta kegagalan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan harga barangan keperluan tidak terus melambung.
“Persoalannya, walaupun harga naik, seolah-olah tidak terkawal. Bukan saja soal barang seperti itu, tetapi barang-barang keperluan kita yang lain.
“Ini faktor yang agak menekan rakyat. Persoalannya kenapa ia naik begitu? Ini soal ketidakcekapan pimpinan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara,” katanya.
Muhyiddin turut mempertahankan rekod pentadbiran kerajaan yang pernah dipimpinnya dengan berkata pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat dan sektor perniagaan ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, pengalaman pemimpin Bersatu yang pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Besar dan menteri turut menjadi aset penting sekiranya parti itu diberi peluang mentadbir Negeri Sembilan.
“Pengalaman itu penting. Kita ada yang pernah menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar, menteri dan timbalan menteri.
“Negeri Sembilan ini bukan besar. Kalau kita pernah urus Malaysia, sebuah negeri kita boleh uruskan,” katanya. – MalaysiaGazette
















