Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama calon PH N.32 Bagan Pinang, Nasir Raman ketika santai minum petang bersama orang ramai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Batu 4, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 22 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan tidak ada sebarang alasan munasabah untuk rakyat Negeri Sembilan menolak kerajaan yang diketuai Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, Negeri Sembilan bukan sahaja kukuh dari segi pencapaian ekonomi, malah perpaduan dalam kalangan rakyatnya juga sangat kukuh.

Namun, ujar beliau, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan terhadap kestabilan politik di Negeri Sembilan atas krisis yang lain.

“Sepatutnya parti-parti politik dalam Negeri Sembilan terutama yang duduk dalam Kerajaan Perpaduan mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkan kerajaan negeri, bukannya menyebabkan kerajaan negeri berkrisis.

“Tapi malangnya kesempatannya diambil untuk mengambil alih pemerintahan di sini, sehinggakan berlaku ketidakharmonian.

“Tapi saya yakin rakyat Negeri Sembilan mahukan kembali kepada keharmonian itu,” katanya.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap ketika ditemubual selepas hadir santai minum petang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Batu 4, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 22 JULAI 2026.

Beliau ditemui MalaysiaGazette ketika mengiringi calon PH DUN Bagan Pinang, Nasir Raman berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sekitar Port Dickson, di sini petang tadi.

Sementara itu, Mohamad menyelar pihak-pihak tertentu yang memainkan naratif perkauman dan agama khususnya dengan menyerang DAP dalam berkempen pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Menurut beliau, dakwaan kononnya orang Melayu dan Islam terancam di bawah pentadbiran PH adalah jelas dipergunakan pihak-pihak tertentu untuk menarik undi semata-mata.

“Realitinya tidak begitu. Kalau DAP merbahaya, kenapa di Perak boleh bersama (kerjasama dengan BN)? Di Pahang boleh bersama? Jadi naratif itu ikut sentimen untuk menang pilihan raya, itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan peluang Nasir merampas kerusi DUN Bagan Pinang, Mohamad berkata, beliau dapat melihat adanya perubahan sokongan daripada pengundi kepada PH di DUN tersebut.

“Di sini ada sedikit kelainan berbanding pada PRN Johor.

“Kita dapat lihat masyarakat pelbagai kaum sama ada orang Melayu, Cina atau India nampak bersama-sama dengan kita,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast