LONDON – Harga minyak mentah Brent meningkat melepasi paras AS$95 setong pada Rabu buat kali pertama dalam tempoh hampir enam minggu.
Ia susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan minyak global, lapor Xinhua.
Penanda aras antarabangsa itu seketika melepasi paras AS$95 sepanjang sesi dagangan sebelum susut sedikit, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) turut mencatatkan kenaikan.
Lonjakan harga minyak yang disokong peningkatan risiko geopolitik, dengan AS dan Iran saling berbalas serangan selain peningkatan ancaman terhadap pelayaran melalui Selat Hormuz dan Selat Bab el-Mandeb menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan.
Peserta pasaran turut menyatakan bekalan minyak mentah bagi penghantaran segera yang semakin ketat serta permintaan jangka pendek yang lebih kukuh sebagai faktor menyokong kenaikan harga.
Kenaikan itu meneruskan pemulihan ketara harga minyak mentah dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Penganalisis berkata sebarang peningkatan lagi ketegangan di rantau itu berpotensi mengekalkan premium risiko geopolitik pada paras tinggi dan menambah tekanan kenaikan terhadap pasaran tenaga global.
— BERNAMA-XINHUA
















