Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Aidi Amin Yazid

SEREMBAN – Visi pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 perlu diteruskan demi menjamin masa depan ekonomi Negeri Sembilan.

Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Aidi Amin Yazid berkata, projek pembangunan berskala besar itu bukan sekadar pelan pembangunan negeri, sebaliknya merupakan agenda transformasi ekonomi jangka panjang yang berpotensi mengubah landskap pelaburan negara.

Juga mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, kejayaan sesebuah pelan pembangunan seperti MVV 2.0 tidak boleh dinilai dalam tempoh singkat kerana ia memerlukan kesinambungan dasar, kestabilan pentadbiran dan keyakinan pelabur yang dibina secara berterusan.

“Sejak 2018, Aminuddin berjaya meneruskan visi MVV 2.0 sebagai agenda pembangunan utama Negeri Sembilan.

“Projek sebesar ini memerlukan kepimpinan yang mempunyai iltizam dan keberanian merancang jauh ke hadapan.

“Atas sebab itu, visi ini perlu diteruskan demi masa depan Negeri Sembilan kerana manfaatnya bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Aidi berkata, kestabilan politik kerajaan negeri merupakan antara faktor paling penting bagi memastikan agenda pembangunan seperti MVV 2.0 dapat dilaksanakan mengikut perancangan sehingga mencapai sasaran menjelang 2045.

Katanya, pelabur sentiasa menilai kestabilan pentadbiran sebelum membuat keputusan membawa modal dan teknologi ke sesebuah negeri.

“Pelabur mahukan kepastian dasar. Mereka mahu melihat sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas serta mampu meneruskan dasar pembangunan tanpa terganggu oleh ketidaktentuan politik.

“Sebab itu kestabilan politik bukan sekadar memberi manfaat kepada kerajaan, tetapi menjadi asas kepada keyakinan pelabur untuk terus memilih Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan,” ujarnya.

Tambah beliau, MVV 2.0 yang meliputi kawasan seluas 153,411 hektar di Seremban dan Port Dickson disasarkan menarik pelaburan sehingga RM294 bilion dalam tempoh 30 tahun serta mewujudkan lebih 600,000 peluang pekerjaan menjelang 2045.

Menurutnya, pembangunan itu merangkumi enam zon strategik termasuk hab teknologi tinggi di Nilai dan Enstek, NS Semiconductor Valley di Senawang, NS Aerospace Valley, hab maritim di Port Dickson serta pembangunan pelabuhan kontena berkuasa kecerdasan buatan (AI) di Pasir Panjang.

Beliau berkata, pembangunan sedemikian membuktikan sesebuah kerajaan yang benar-benar mahu meningkatkan taraf hidup rakyat perlu mempunyai keberanian membina asas ekonomi yang kukuh, bukan sekadar menawarkan penyelesaian jangka pendek.

“Untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya golongan memerlukan, kerajaan mesti mempunyai keazaman memajukan ekonomi dengan membawa pelaburan berkualiti dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Apabila ekonomi berkembang, hasil negeri meningkat dan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, kerajaan akan mempunyai keupayaan lebih besar untuk memperkukuhkan bantuan kebajikan.

“Juga meningkatkan kemudahan awam serta memperbaiki taraf hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas kempen PRN Negeri Sembilan, Aidi berkata, PH memilih untuk membawa pendekatan lebih pragmatik dengan memberi fokus kepada dasar serta penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, manifesto gabungan itu tidak dibina atas retorik politik semata-mata, sebaliknya berasaskan agenda pembangunan yang realistik serta mampu menjamin kemakmuran negeri dalam jangka panjang.

Aidi pada sesi taklimat PRN Negeri Sembilan.

“Manifesto PH memberikan fokus kepada usaha yang pragmatik dan positif untuk rakyat.

“Kita mahu rakyat menilai rekod pentadbiran, pencapaian ekonomi serta hala tuju pembangunan yang sedang dilaksanakan.

“Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi bagaimana kita mahu memastikan Negeri Sembilan terus berkembang sebagai negeri yang mampu menarik pelaburan, mencipta pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, mesej yang dibawa oleh setiap calon PH sepanjang kempen juga selari dengan aspirasi tersebut apabila mereka mengutamakan pendekatan kenegarawanan berbanding politik sempit.

“Kita mahu calon-calon yang berfikir sebagai negarawan dan bukannya politikus.

“Negarawan sentiasa melihat bagaimana sesuatu dasar boleh memberi manfaat kepada negeri dalam tempoh puluhan tahun, bukannya sekadar memikirkan keuntungan politik untuk satu pilihan raya.

“MVV 2.0 adalah contoh terbaik bagaimana sebuah visi besar mampu mengubah masa depan Negeri Sembilan.

“Sebab itu kesinambungan agenda ini perlu dipertahankan supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh seluruh rakyat dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast