Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun beramah mesra bersama penyokong selepas hadir pada Program Jelajah Kekal Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Pusat Bandar Senawang Taipan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

PAROI – “Boneka DAP” yang didakwa sesetengah pihak terhadapnya sebenarnya telah memperjuangkan kepentingan orang Melayu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, antara bukti perjuangan itu adalah usaha kerajaan negeri menukar status tanah daripada pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas (freehold), yang menurutnya memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya pemilik rumah dalam kalangan orang Melayu.

“Orang kata saya boneka DAP. Betul tak? Boneka DAP inilah yang memperjuangkan Melayu.

“Ada orang Cina suka beli rumah dalam leasehold? Yang beli rumah dalam leasehold, siapa? Orang Melayu,” katanya ketika berucap pada pentas jelajah ‘Kekal Harapan’ Negeri Sembilan, malam tadi.

Jelajah itu disempurnakan dengan kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim.

Aminuddin berkata, usaha berkenaan dilakukan bersama rakan-rakan dalam kerajaan negeri sebelum mendapat penerimaan Kerajaan Persekutuan, sekali gus membolehkan status tanah berkenaan ditukar daripada leasehold kepada freehold.

“Kerana itulah saya perjuangkan bersama teman-teman lain dalam manifesto kita. Alhamdulillah, diterima baik oleh Kerajaan Persekutuan dan kita dibenarkan menukar daripada leasehold kepada freehold,” katanya.

Menurut beliau, pentadbiran kerajaan negeri tidak mengamalkan pendekatan yang membezakan rakyat berdasarkan kaum, sebaliknya memastikan kepentingan orang Melayu, Cina dan India terus diberi perhatian secara adil.

“Ini yang dipanggil boneka DAP. Kita bukan masalah boneka. Kita bekerja sebagai satu pasukan.

“Kita nak pastikan orang Melayu kita jaga, orang Cina kita jaga, orang India kita jaga. Rakyat Malaysia ada hak. Bukan orang kita sahaja, tetapi masyarakat lain juga mempunyai hak,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tiga tahun selepas lima tahun pertama pentadbiran PH membuktikan kerajaan negeri mampu mengekalkan kestabilan politik sambil melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini penting bagi menentukan kesinambungan sebuah kerajaan stabil yang telah dirasai rakyat selama lapan tahun.

“Kita telah buktikan lima tahun pertama dan tiga tahun seterusnya bersama dengan Barisan Nasional. Tuan-tuan rasai dan telah merasa apa yang telah kita laksanakan,” katanya.

PRN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini, dengan PH menawarkan 10 komitmen utama menerusi manifesto ‘Kekal Harapan’ bagi meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast