KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan meneruskan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dengan memberi tumpuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun, susulan masih wujud pelbagai isu pentadbiran yang membebankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presidennya, Datuk William Ng berkata, walaupun Malaysia mencatat peningkatan lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 negara dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD, cabaran birokrasi di peringkat PBT masih menjadi antara halangan utama kepada pertumbuhan perniagaan.
Katanya, berdasarkan tinjauan yang dijalankan, PKS secara konsisten membangkitkan isu tempoh pemprosesan lesen, permit dan pembaharuan yang sukar dijangka, selain penguatkuasaan yang tidak konsisten sehingga meningkatkan kos operasi serta mewujudkan ketidakpastian dalam perniagaan.
“Oleh itu, Samenta mencadangkan agar fokus pengurangan birokrasi seterusnya ditumpukan kepada PBT dan badan-badan berkanun bagi memastikan urusan perniagaan menjadi lebih cekap, telus dan mesra pelabur,” menurut kenyataan itu.
Persatuan itu berkata, penambahbaikan proses pentadbiran menerusi RKB serta penggubalan Akta Iltizam telah membuahkan hasil positif apabila kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia, manakala kecekapan perniagaan melonjak 16 anak tangga ke tangga ke-16 dunia.
Selain itu, indikator tempoh memulakan perniagaan meningkat 38 anak tangga ke kedudukan ke-15 dunia, manakala perundangan perniagaan naik 29 anak tangga ke kedudukan keenam dunia, mencerminkan penambahbaikan terhadap pematuhan kawal selia.
Ia juga berpandangan pencapaian itu membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta mampu meningkatkan daya saing negara, namun manfaatnya perlu diterjemahkan sehingga ke peringkat pelaksanaan di agensi tempatan.
Pada masa sama, persatuan itu turut mencadangkan sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus penglibatan pembekal tempatan dalam rantaian bekalan bagi projek pelaburan langsung asing (FDI) berteknologi tinggi bagi memperkukuh keupayaan PKS tempatan.
Samenta juga mengesyorkan agar fungsi Nexus Produktiviti di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diperkasakan sebagai unit pelaksanaan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan keperluan industri, termasuk menyediakan program digitalisasi dan peningkatan produktiviti khusus untuk perusahaan mikro dan kecil.
Menurutnya, usaha mengurangkan kerenah birokrasi secara berterusan akan memastikan peningkatan daya saing negara dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan yang lebih mampan dan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti perniagaan tempatan. – MalaysiaGazette
















