Daun kaduk

KUALA LUMPUR – Tumbuhan daun kaduk yang lazim dijadikan ulam dan ramuan masakan tradisional berpotensi menjadi sumber inovasi baharu dalam pengurusan hipertensi selepas penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati ia mempunyai kesan positif terhadap kesihatan jantung dan salur darah.

Ketua penyelidik dan pakar fisiologi kardiovaskular Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Azizah Ugusman berkata, kajian yang dijalankan sejak lebih sedekad lalu mendapati ekstrak daun kaduk atau Piper sarmentosum Roxb. mampu memperbaiki fungsi salur darah serta berpotensi membantu mengawal tekanan darah.

Menurut beliau, penyelidikan itu bermula selepas daun kaduk dikenal pasti mengandungi pelbagai sebatian bioaktif yang mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang.

“Tekanan oksidatif dan keradangan merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan hipertensi serta kerosakan salur darah. Oleh itu, kami ingin mengetahui sama ada daun kaduk mampu memberikan kesan perlindungan terhadap sistem kardiovaskular,” katanya.

Beliau berkata, hipertensi kekal sebagai antara masalah kesihatan utama di Malaysia dengan hampir satu daripada tiga orang dewasa menghidap penyakit itu, namun ramai tidak menyedarinya kerana ia sering tidak menunjukkan gejala yang jelas.

Dr. Azizah Ugusman

Katanya, keadaan itu menyebabkan hipertensi dikenali sebagai “pembunuh senyap” kerana boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan kematian pramatang jika tidak dikawal.

Mengulas dapatan kajian, Dr. Azizah berkata, ekstrak daun kaduk didapati meningkatkan penghasilan nitrik oksida, iaitu molekul penting yang membantu salur darah mengembang dan memastikan aliran darah lebih lancar.

Selain itu, katanya, ekstrak berkenaan turut menunjukkan aktiviti antioksidan yang mampu mengurangkan tekanan oksidatif, sekali gus berpotensi mengurangkan risiko hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

“Kajian kami juga menunjukkan daun kaduk berpotensi mempengaruhi sistem renin-angiotensin, iaitu sistem utama yang mengawal tekanan darah manusia. Apabila sistem ini terlalu aktif, tekanan darah boleh meningkat dan seterusnya meningkatkan risiko hipertensi,” katanya.

Menurut beliau, hasil penyelidikan tersebut telah membawa kepada penghasilan paten berkaitan penggunaan daun kaduk dalam pengurusan hipertensi, sekali gus membuktikan potensi tumbuhan tempatan untuk diterjemahkan kepada inovasi kesihatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, penyelidikan berkenaan masih berada pada peringkat praklinikal dan memerlukan lebih banyak kajian, termasuk ujian klinikal ke atas manusia, sebelum ia boleh dibangunkan sebagai produk kesihatan.

Dr. Azizah berkata, Malaysia memiliki khazanah biodiversiti yang kaya dan masih banyak tumbuhan tempatan yang berpotensi diterokai untuk pembangunan produk kesihatan berasaskan penyelidikan saintifik.

“Kadangkala tumbuhan yang kita anggap biasa dan hanya dijadikan ulam sebenarnya menyimpan nilai saintifik yang sangat besar. Melalui penyelidikan yang sistematik, khazanah alam semula jadi negara bukan sahaja dapat memperkayakan ilmu pengetahuan, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan produk kesihatan tempatan pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast