Pekan Linggi, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 22 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi bakal berubah wajah dengan pembangunan pesat sekiranya Pakatan Harapan (PH) kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Menteri Besar yang juga calon PH DUN Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dua projek mega sudah dirancang di kawasan itu yang bakal menarik limpahan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan bergaji tinggi kususnya kepada golongan belia.

Menurut beliau, projek itu melibatkan pembangunan sebuah pelabuhan baharu yang dikenali sebagai `AI Port’ yang merupakan projek pertama seumpamanya di negara ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap ketika ditemubual semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Tanjung Agas, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 21 JUALI 2026.

Jelasnya, pelabuhan kontena itu bakal menjadi `game changer’ di DUN Linggi memandangkan kawasan itu yang terletak bersempadan dengan Melaka dilihat kurang membangun berbanding DUN lain di Negeri Sembilan.

Seiring dengan pembangunan AI Port itu juga, ujarnya, kerajaan negeri turut merancang membangunkan kawasan perindustrian seluas 1,400 ekar di DUN Linggi.

Tambahnya, peringkat awal pembangunan projek perindustrian itu akan melibatkan kawasan seluas 300 ekar yang dibangunkan dengan kerjasama Sime Darby tanpa melibatkan pengambilan mana-mana tanah milik penduduk tempatan.

“Ketika ini kebanyakan penduduk DUN Linggi ini hanya tertumpu kepada pekerjaan seperti sebagai nelayan, petani, sebahagiannya bekerja sebagai buruh dan pekerja kerajaan, ataupun bekerja di kilang-kilang kecil.

“Jadi dengan adanya pembangunan AI Port dan kawasan perindustrian ini, maka DUN Linggi selepas ini akan menjadi kawasan yang mampu memberi peluang pekerjaan yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu, Aminuddin berkata, selain dua projek mega tersebut, beberapa projek lain turut dirancang di di Parlimen Port Dickson yang kesan limpahan ekonominya turut bakal dinikmati oleh penduduk di DUN Linggi.

Gelagat penduduk meluangkan masa dengan melakukan aktiviti memancing pada waktu petang ketika tinjauan lensa MalaysiaGazettte di Jeti Nelayang Kampung Teluk Pelanduk, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 19 JUALI 2026.

Antaranya, kata beliau, kawasan perindustrian baharu di Springhill dan di Bukit Pelandok yang membabitkan pelaburan sehingga RM2 bilion yang mampu membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada generasi muda.

Pada 14 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah Projek Midport Smart AI Port (Midport) di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson, sekali gus menandakan satu perubahan penting dalam hala tuju pembangunan Negeri Sembilan.

Projek itu akan memperkukuh kedudukan Port Dickson daripada kawasan yang selama ini terkenal sebagai destinasi pelancongan, rekreasi dan industri petroleum kepada gerbang perdagangan, logistik, teknologi dan perindustrian moden.

Midport Smart AI Port dibangunkan Midports Holdings Sdn Bhd, syarikat dimiliki 79 peratus oleh Tanco Holdings Berhad, dengan kerjasama strategik Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS).

Projek itu dirancang dibangunkan di kawasan kira-kira 72.84 hektar dalam Had Pelabuhan Kuala Sungai Linggi yang sudah diwartakan.

Pelabuhan itu dirancang mempunyai enam dermaga, sebuah jambatan penghubung sepanjang 1.5 kilometer serta dengan kapasiti pengendalian sehingga lapan juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast