SEREMBAN – Terminal One Seremban kini tersenarai antara terminal bas terbaik negara selepas menerima Pengiktirafan Terminal Gred A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penarafan itu bukan diberikan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu memenuhi pelbagai kriteria ketat termasuk aspek kecekapan operasi, kebersihan, sistem tiket dalam talian dan kemudahan kepada pengguna.

“Penarafan Gred A menunjukkan terminal ini mencapai piawaian tinggi dari segi operasi dan perkhidmatan.

“Ia mempunyai sistem tiket dalam talian, ruang menunggu yang lebih selesa serta memenuhi pelbagai syarat sebelum diberikan pengiktirafan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pengiktirafan Terminal Gred A kepada Terminal One Seremban, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bukan semua terminal di negara ini layak menerima Gred A kerana setiap terminal dinilai berdasarkan tahap kemudahan dan pengurusannya.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan Terminal One serta MBS yang berjaya menaik taraf terminal lama itu sehingga mencapai standard kebangsaan,” katanya.

Selain itu, katanya, kekerapan perkhidmatan dan ketepatan masa menjadi fokus utama Kementerian Pengangkutan dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

“Kita mengharapkan pengangkutan awam dari segi kekerapan serta pematuhan kepada masa dapat dipertingkatkan.

“Pengguna mahukan perkhidmatan lebih kerap dan ‘on-time performance’ supaya masa ketibaan serta pelepasan benar-benar tepat,” katanya.

Menurut beliau, jika dua aspek itu berjaya dipertingkatkan, lebih ramai rakyat akan memilih pengangkutan awam sebagai mod perjalanan utama.

“Penambahbaikan itu melibatkan semua mod pengangkutan termasuk bas dan rel,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast