Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah permohonan faedah pengangguran daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial  tahun ini yang disifatkan mencerminkan keadaan sebenar pasaran pekerjaan negara.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sehingga 16 Julai lalu, seramai 52,607 pekerja telah memohon faedah pengangguran, dengan golongan profesional, pengurus, penyelia dan juruteknik menyumbang lebih separuh daripada jumlah pemohon.

Menurut beliau, trend itu menunjukkan pengangguran bukan lagi hanya melibatkan pekerja berpendapatan rendah, malah turut menjejaskan golongan profesional dan pekerja mahir.

“Jika trend ini berterusan, tahun 2026 mungkin menjadi tahun dengan jumlah pengangguran tertinggi sejak pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dominic berkata, perkembangan itu turut menimbulkan persoalan terhadap dakwaan kerajaan mengenai prestasi ekonomi yang semakin kukuh hasil kemasukan pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit.

Ia kerana, dakwanya, data permohonan faedah pengangguran lebih mencerminkan realiti ekonomi kerana bantuan itu hanya boleh dipohon oleh individu yang kehilangan pekerjaan.

Soal beliau, kerajaan boleh mengumumkan pelbagai angka pelaburan dan dasar, tetapi persoalan utama ialah berapa banyak pekerjaan berkualiti tinggi yang berjaya diwujudkan dan mengapa semakin ramai rakyat kehilangan mata pencarian.

Menurut beliau, lebih membimbangkan ialah hampir 60% daripada pekerjaan pengangguran berada di Kuala Lumpur dan Selangor, kawasan yang dianggap sebagai pusat ekonomi utama Malaysia.

“Kerajaan Madani boleh terus mendakwa bahawa ekonomi negara kukuh. Tetapi bagi lebih 50,000 orang yang telah kehilangan pekerjaan mereka tahun ini, kesukaran mereka bukan sahaja tentang membayar gadai janji, pinjaman kereta, bil elektrik atau perbelanjaan isi rumah.

““Saya percaya orang ramai hari ini lebih mampu membezakan yang betul daripada yang salah dan tidak akan mudah mempercayai data yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Perdana Menteri boleh mencadangkan pelbagai dasar kerajaan populis untuk memuaskan hati pengundi, tetapi persoalan sebenarnya ialah, berapa banyak pekerjaan berkualiti tinggi yang telah diwujudkan oleh pelaburan anda? Mengapa semakin ramai orang kehilangan mata pencarian mereka?,” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta menambah baik perkhidmatan pekerjaan dengan membangunkan platform padanan pekerjaan secara dalam talian dan luar talian bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu melaksanakan langkah menyeluruh bagi menstabilkan perniagaan, merangsang permintaan domestik, menggalakkan transformasi ekonomi dan melindungi peluang pekerjaan.

Beliau turut mendakwa kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu ekonomi dan pekerjaan rakyat berbanding memperkenalkan dasar yang bersifat populis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast