LABU – Penduduk di sekitar Batu 8 hingga Batu 9, Labu, di sini, bimbang hakisan tebing sungai yang semakin serius bukan sahaja menyebabkan kerosakan rumah dan tembok, malah mengancam keselamatan keluarga sekiranya tidak ditangani segera.
Lebih membimbangkan, masalah yang dikatakan berlaku sejak bertahun-tahun itu semakin ketara setiap kali hujan lebat apabila aliran air sungai menjadi deras, menyebabkan tanah tebing runtuh dan hakisan merebak menghampiri kediaman penduduk.

Azizah Mohd Zain, 73, yang tinggal di Kampung Pasir Putih berkata, keadaan tebing sungai di belakang rumahnya semakin teruk selepas hujan lebat kira-kira seminggu lalu, menyebabkan beberapa bahagian tebing kembali berlubang dan terhakis.
Katanya, dia terpaksa menanggung sendiri kos membeli batu, simen dan blok untuk menambak serta mengukuhkan tebing, namun kos pembinaan benteng dianggarkan mencecah antara RM5,000 hingga RM6,000.
“Makcik sangat berharap pihak berkuasa dapat membantu. Rumah ini betul-betul di tepi sungai dan setiap kali hujan lebat, air akan naik serta menyebabkan tebing berlubang.
“Kalau ada lubang kecil, makcik cuba tutup sendiri setakat yang mampu. Tetapi makcik bimbang jika dibiarkan, lubang itu akan menjadi semakin besar dan akhirnya menyebabkan tebing runtuh.
“Kalau tebing ini runtuh, rumah makcik pun akan terjejas. Rumah ini sudah 75 tahun berada di sini. Ini saja tanah dan rumah yang makcik ada. Kalau rumah ini roboh, makcik tidak tahu hendak pergi ke mana,” katanya.

Menurutnya, ketua kampung sebelum ini sudah datang melihat keadaan tersebut dan mengambil laporan, namun setakat ini belum ada tindakan lanjut bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu, Wan Abdul Halim, 60, dari Lot 222, Batu 8, Labu, berkata, masalah hakisan sungai yang berlaku sejak lebih lapan tahun lalu turut menyebabkan keretakan ketara pada rumahnya.
Katanya, kerja pembaikan pernah dilakukan sebelum ini, namun tidak bertahan lama apabila hakisan kembali berlaku terutama ketika musim hujan lebat.
“Tebing sungai di kawasan ini sudah banyak yang runtuh dan mengalami hakisan teruk. Disebabkan rumah kami terletak berhampiran sungai, hakisan yang berlaku turut menyebabkan keretakan yang ketara pada rumah.
“Masalah ini sebenarnya sudah berlaku lebih lapan tahun. Sebelum ini, pernah ada pihak berwajib datang melakukan sedikit kerja pembaikan berhampiran rumah kami, tetapi ia tidak bertahan lama. Hakisan kembali berlaku dan keadaan semakin teruk,” katanya.

Wan Abdul Halim berkata, beliau dan keluarga sudah membelanjakan antara RM23,000 hingga RM25,000 bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan rumah serta kawasan persekitaran akibat hakisan, tidak termasuk kos terbaharu.
Beliau berkata, beberapa aduan dan permohonan juga sudah dikemukakan kepada pihak berkenaan, termasuk pada 29 September 2022 dan yang terbaharu pada 23 Oktober, manakala wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut datang melihat keadaan kawasan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, tindakan susulan yang benar-benar menyelesaikan masalah hakisan berkenaan masih belum dilaksanakan.
Bagi Abd Karim Abd Kadir, 63, penduduk Batu 8, Labu, keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan lebat dan banjir menyebabkan penduduk semakin bimbang terhadap keselamatan rumah masing-masing.
Katanya, penduduk terpaksa melakukan pembaikan kecil menggunakan wang sendiri setiap kali berlaku kerosakan, namun kaedah itu bukan penyelesaian jangka panjang.
“Setakat ini, kerosakan yang berlaku terpaksa kami baiki menggunakan duit sendiri. Kami hanya mampu melakukan pembaikan kecil seperti menampal bahagian yang rosak, tetapi sampai bila kami hendak terus melakukan kerja menampal dan membaiki sendiri.
“Kami tidak mahu menunggu sehingga berlaku perkara yang lebih buruk, termasuk kerosakan rumah atau lebih membimbangkan lagi, kecederaan dan kehilangan nyawa. Setakat ini belum ada kecederaan atau kematian berlaku, tetapi itulah yang paling kami takutkan,” katanya.
Menurutnya, aduan berhubung masalah itu sudah dibuat beberapa kali, termasuk melalui ketua kampung dan beliau sendiri pernah membuat laporan sejak 2015.
Katanya, walaupun pihak berkenaan pernah datang melihat keadaan dan memberi jaminan tindakan akan diambil, masalah sama kembali berlaku setiap kali hujan lebat.

Dalam pada itu, Mohd Nasir Md Said, 60, dari Kampung Tebing Tinggi, Batu 9, Labu, berkata, hujan lebat dan aliran air sungai yang deras menyebabkan tembok yang dibina sendiri di belakang rumahnya runtuh akibat hakisan tanah tebing.
Katanya, jumlah kerugian yang ditanggungnya sepanjang tempoh berdepan masalah itu dianggarkan hampir RM200,000 selepas membelanjakan wang sendiri untuk membina dan membaiki tembok di sepanjang kawasan berkenaan.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Namun, saya berharap pihak berwajib dapat melihat keadaan ini sebagai satu tanggungjawab bersama dan membantu membaiki kerosakan yang berlaku.
“Harapan saya supaya sungai dan kawasan tebing di sini dapat diperbaiki serta diluruskan bagi mengurangkan risiko hakisan. Masalah ini bukan hanya berlaku di kawasan rumah saya, malah penduduk di bahagian bawah sungai turut berdepan masalah yang sama,” katanya.

Mohd Nasir berkata, masalah itu perlu ditangani secara menyeluruh dan segera sebelum musim hujan serta monsun yang akan datang bagi mengelakkan kerosakan lebih besar dan kerugian yang semakin tinggi kepada penduduk. – MalaysiaGazette
















