SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mendakwa naratif “penyatuan ummah” yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan bertujuan memperkukuh perpaduan Islam.

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menegaskan, naratif tersebut didorong agenda untuk merampas kuasa politik semata-mata.

“Perpaduan hanya dianggap mulia sekiranya dibina berlandaskan kebaikan dan ketakwaan, bukannya untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang sedang menunjukkan prestasi cemerlang.

“Bagi kami, perpaduan yang dibentuk oleh BN dan PN ini adalah demi kuasa, bukan demi perpaduan ummah.

“Sejak dari awal krisis Negeri Sembilan ini, semuanya kerana mahukan kuasa bukan kerana kepentingan Islam,” katanya pada sidang media bersama di Pusat Media Harapan, di Klana Resort, di sini, hari ini.

Sidang media bersama Pakatan Harapan di Pusat Media Harapan di Klana Resort, Seremban, hari ini.

Sidang media bersama itu turut dihadiri Pengarah Komunikasi PH merangkap Ketua Penerangan Keadilan, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin, 

Selain itu, kata Khalid, usaha BN dan PN membentuk kerjasama itu dilihat bercanggah dengan semangat perpaduan sebenar, didakwa bertujuan menjatuhkan kerajaan negeri tanpa alasan munasabah.

“Apabila ia bertujuan menjatuhkan sebuah kerajaan yang jelas berprestasi tinggi, perpaduan itu dibina atas kejahatan dan perbalahan, bukannya atas kebaikan dan ketakwaan,” katanya.

Khalid juga mempersoalkan asas kerjasama politik antara UMNO dan Pas dan jika ia dibentuk semata-mata berasaskan kaum atau kelompok tertentu, ia bersifat assobiyyah.

“Persepakatan BN-PH dengan slogan penyatuan ummah itu ditegah dalam ajaran Islam,” katanya.

Dalam masa sama, PH turut mengkritik kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dipetik berkata, “Kita akan kejar dia ke Linggi dan kita ramai-ramai lanyak dia,” dengan mendakwa kenyataan sedemikian hanya menyemarakkan budaya kebencian dalam politik.

“Pendekatan itu menunjukkan kerjasama BN dan PN dibina atas unsur permusuhan serta perbalahan, bukannya semangat perpaduan yang sebenar,” katanya.

Sebaliknya, PH menegaskan pihaknya memperjuangkan perpaduan rakyat Malaysia secara menyeluruh merangkumi orang Melayu, Cina, India serta kaum-kaum lain.

“Perjuangan PH tanpa berteraskan sentimen perkauman atau kepentingan politik sempit.

 “Bagi kami, perpaduan yang dibentuk oleh BN dan PN ini adalah demi kuasa, bukan demi perpaduan ummah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast