SEREMBAN – Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad mempersoalkan kewajaran cabaran debat yang dikemukakan Datuk Seri Jalaluddin Alias terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau menegaskan, selagi mana Barisan Nasional (BN) belum mengisytiharkan Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar, tiada keperluan untuk menyahut cabaran debat tersebut.

Menurut Khalid, seseorang yang mahu berdebat dengan penyandang menteri besar seharusnya terlebih dahulu mempunyai kedudukan yang setara sebagai calon rasmi bagi jawatan tersebut.

“Kalau Jalaluddin memang calon Menteri Besar BN, umumkanlah secara rasmi dahulu.

“Biar Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Jalaluddin ialah calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada BN,” katanya pada sidang media di Pusat Media Harapan di Klana Resort, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menegaskan beliau tidak mempunyai hasrat mencabar mana-mana pihak untuk berdebat secara terbuka, namun bersedia menerima pelawaan sekiranya dikemukakan pihak lawan.

Jalaluddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang tawaran untuk berdebat.

Khalid juga berkata, sekiranya Jalaluddin hanyalah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) biasa, adalah tidak wajar beliau mencabar Aminuddin untuk berdebat mengenai pentadbiran negeri.

Menurutnya, status calon menteri besar perlu dijelaskan terlebih dahulu supaya rakyat mengetahui siapa sebenarnya yang ditawarkan BN sebagai pemimpin negeri sekiranya gabungan itu memenangi PRN Negeri Sembilan.

“Kalau beliau hanya salah seorang calon ADUN biasa, saya rasa tidak sesuailah untuk mencabar Tok Min berdebat.

“Isytiharkan dahulu siapa calon Menteri Besar BN, kemudian barulah kita boleh mempertimbangkan perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast