Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu yang hadir selepas melancarkan gimik pada majlis pelancaran Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 JULAI 2026

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2027 akan mula dirangka pada bulan depan sebelum dibentangkan awal Oktober ini.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, belanjawan kali ini menekankan aspek pertumbuhan, dasar ekonomi, strategi semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital.

Menurutnya, penekanan tersebut bagaimanapun tidak boleh mengetepikan tujuan moral tadbir urus serta pembangunan, sebaliknya menitiberatkan kesejahteraan rakyat.

“Kesejahteraan misalnya perlu diterjemahkan kepada aspek gaji lebih baik, kerja yang lebih bermakna, perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan mudah diakses, pendidikan berkualiti, komuniti atau masyarakat yang mampu berkembang serta mobiliti sosial sebenar,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata perdana menteri, kesejahteraan rakyat bukan bermaksud melepaskan beban alam sekitar, kewangan dan sosial kepada generasi akan datang.

Ujar beliau, sebaliknya, inovasi perlu mengembangkan kemampuan manusia dan bukan hanya menjadikan penyisihan yang lebih ketara.

Kata Perdana Menteri, kesejahteraan bukan slogan untuk diletakkan di sepanduk sebaliknya mesti dicerminkan dalam dasar, institusi dan tatalaku.

“Kemampanan bermaksud kita tidak mewariskan pembaharuan atau beban alam sekitar, kewangan dan sosial kepada generasi akan datang,” ujarnya ketika berucap sempena pelancaran wacana antarabangsa Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026, di sini hari ini.

Anwar Ibrahim yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan (kiri) dan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi, Datuk Saadiah Mohamad (kanan) melancarkan Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 JULAI 2026

Dalam ucapannya, Anwar menyatakan, kesejahteraan hidup turut menekankan perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan yang mudah diakses, pendidikan berkualiti, komuniti yang berkembang maju serta mobiliti tulen.

“Ekonomi adalah satu kaedah dan bukan setakat matlamat akhir. Tujuannya bukan sekadar menghasilkan angka yang lebih tinggi, perbelanjaan lebih besar atau tumpuan pengumpulan kekayaan sebaliknya bagi membolehkan rakyat hidup lebih bermaruah, selamat, ada matlamat serta harapan.

“Ini bermakna melakukan penilaian sebelum setiap keputusan besar, sama ada pertumbuhan meningkatkan atau mengehadkan peluang.

“Adakah ini mengukuhkan lagi keluarga dan komuniti atau sebaliknya? Adakah manusia itu dilayan sebagai rakan dalam pembangunan atau hanya instrumen pengeluaran?” kata beliau. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast