KUALA LUMPUR – Tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat yang menggesa pentadbiran negara itu mengambil tindakan terhadap Malaysia susulan pendirian tegas Kerajaan berhubung Israel serta siasatan terhadap Network School mencabar prinsip asas kedaulatan negara yang menjadi teras hubungan antarabangsa.
Angkatan Belia Malaysia (ABIM) menegaskan, hubungan dua hala harus dibina atas asas kesaksamaan dan penghormatan terhadap hak berdaulat setiap negara dan bukannya melalui tekanan politik atau percubaan mempengaruhi dasar sesebuah negara.
Sehubungan itu, Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menggesa Malaysia untuk tegas dan berani dalam mempertahankan pendirian serta prinsip selain terus konsisten dalam menegakkan keadilan tanpa mengira siapa pelakunya.
“Malaysia akan terus dihormati bukan kerana tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar, tetapi kerana istiqamah mempertahankan kedaulatan, keluhuran undang-undang dan maruah insan.
“Prinsip inilah yang perlu terus dipelihara demi maruah negara, keamanan serantau dan kesejahteraan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Fahmi menjelaskan, Malaysia tidak pernah memusuhi mana-mana bangsa atau agama, sebaliknya, negara ini secara konsisten menolak penjajahan, apartheid, genosid dan segala bentuk pencabulan hak asasi manusia.
“Mengkritik dasar rejim Zionis Israel bukanlah suatu bentuk kebencian terhadap masyarakat Yahudi.
“Percubaan menyamakan kedua-dua perkara ini bukan sahaja mengelirukan, malah berisiko menutup ruang kepada kritikan yang sah terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa serta prinsip hak asasi manusia,” katanya.
Tambah beliau, dunia seharusnya menumpukan usaha kepada penyelesaian yang adil dan berkekalan, bukannya memberi tekanan kepada negara yang mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat.
Berhubung isu Network School, ABIM berpandangan bahawa siasatan hendaklah diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Malaysia. Sebarang dakwaan berkaitan keselamatan negara hendaklah ditentukan melalui proses perundangan negara secara bebas, telus dan berlandaskan fakta.
Sekiranya wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan kemudahan imigresen atau ancaman terhadap keselamatan negara, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang mana-mana pihak.
ABIM percaya hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat yang telah lama terjalin dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan keselamatan wajar terus diperkukuhkan berasaskan prinsip saling menghormati, dialog yang konstruktif serta kepentingan bersama. -MalaysiaGazette















