Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan, beliau pihak yang paling gembira jika kerajaan mengumumkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dalam tempoh terdekat.

Dakwanya, laporan RCI itu adalah terperinci dan beliau yakin ia akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran UMNO.

Dakwa beliau juga, hasil siasatan RCI juga membantu rakyat menghadam bagaimana sepak terajang politik melalui tindakan `suci-mensuci’ terutamanya oleh PAS, membawa kekeliruan di kalangan rakyat mengenai apa yang telah terjadi di TH.

“Hanya setelah saya bersuara untuk kesekian kali dan kali ini bersuara dari luar sebagai pengkritik, barulah dengan cepat keputusan hendak dibuat untuk mendedahkan laporan RCI TH kepada orang ramai.

“Saya lebih gembira kalau ia didedahkan dengan niat untuk membawa kebenaran seawal 2023 lagi, namun saya berdoa biarlah ada pengajaran kepada rakyat Malaysia dari episod-episod ini,” ujar beliau dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Rafizi mengulas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa laporan RCI tersebut akan didedahkan kepada umum hari ini atau selewat-lewatnya Rabu depan.

Menurut Perdana Menteri, laporan suruhanjaya itu berhubung pengurusan dan operasi TH akan dirujuk kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum.

Perdana Menteri berkata, jika perbincangan tidak perlu dilakukan, hasil laporan tersebut akan dikeluarkan hari ini, sebaliknya jika perbincangan perlu dibuat, kerajaan akan mengumumkannya pada Rabu depan.

Dalam kenyataan bagi pihak Parti Bersama Malaysia (Bersama), Rafizi turut menarik perhatian umum berkaitan latar belakang RCI dan kenapa isu laporan tersebut keluar secara tiba-tiba.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, perkara tersebut ditimbulkan dalam satu ceramah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua minggu lalu untuk memberi pemahaman kepada orang ramai bagaimana kompromi politik akhirnya memakan diri, jika kompromi itu bertentangan dengan kepentingan awam.

Dakwa beliau, contoh yang paling baik ialah mengenai penyelewengan yang berlaku dalam TH sepanjang lebih sedekad akibat kelemahan tadbir urus di bawah Barisan Nasional (BN) yang didakwanya `disucikan’ oleh PAS atas nama perpaduan ummah.

“Walaupun TH telah diselamatkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dalam tahun 2019, harga yang dibayar oleh rakyat adalah sangat tinggi.

“Ia melibatkan puluhan bilion duit cukai rakyat untuk menanggung kerugian dari pelaburan-pelaburan TH selama lebih sedekad.

“TH juga akan mengambil masa berdekad lagi untuk kukuh semula, sementara hutang berpuluh bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat sekurang-kurangnya sedekad lagi,” dakwa beliau.

Menurut Rafizi, semasa Kerajaan Perpaduan dibentuk, antara keputusan paling awal yang perlu dibuat ialah mendedahkan laporan RCI TH kepada orang ramai, sekitar awal tahun 2023.

Jelas beliau, apabila RCI dibentuk, hasil siasatan sepatutnya didedahkan kepada orang ramai kerana hanya isu-isu nasional yang melibatkan kepentingan awam yang disiasat oleh sebuah suruhanjaya diraja.

“Sepatutnya, laporan RCI itu didedahkan seawal 2023 lagi apabila laporan itu mula-mula siap. Tetapi pada ketika itu, Dato’ Seri Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati UMNO, maka keputusan dibuat untuk `menanam’ laporan itu,” dakwanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast