Mohamad Hasan

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) tidak bercadang menjalin sebarang kerjasama politik baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya kekal dengan persefahaman sedia ada bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persefahaman itu dicapai berlandaskan keyakinan bahawa perpecahan undi Melayu antara parti-parti politik merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan PRU ke-15.

“Kita yakin dengan persefahaman yang telah dibuat. Sebab itu kita membuat persefahaman ini kerana kita mempunyai keyakinan tinggi.

“Kita melihat kita tewas dua kali, PRU14 dan PRU15, kerana orang Melayu berpecah. Jadi, perpecahan ini yang kita mahu tutup dan satukan semula,” katanya dalam program santai bersama Tok Mat Hasan di Pedas, hari ini yang turut dihadiri calon BN bagi DUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris.

Menurut Mohamad, persefahaman BN-PN itu turut menyaksikan pembahagian kerusi berdasarkan persetujuan bersama, termasuk memberi laluan kepada parti yang mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi sesuatu kerusi.

Katanya, BN sanggup melepaskan beberapa kerusi majoriti Melayu sebagai sebahagian daripada persefahaman berkenaan demi mengelakkan pertandingan sesama sendiri yang boleh menyebabkan undi berpecah.

“Walaupun berat di hati, kita merelakan ada banyak kerusi yang majoriti Melayu pun kita serahkan kerana persefahaman kita ialah siapa menang, kerusi itu kerusi dia.

“Jadi, tidak timbul soal kita menyesal atau tidak. Itu persefahaman kita. Dia menang kerusi itu, kita bagi. Kita menang kerusi yang lain, kita ambil,” katanya.

Mohamad berkata, pembahagian kerusi tersebut adalah berdasarkan prinsip setiap parti perlu menerima dan menghormati keputusan yang telah dipersetujui bersama.

“Kita akan bahagikan kerusi berdasarkan apa yang telah dipersetujui. Mana yang patut kita ambil, kita ambil dan mana yang patut kita bagi kepada orang, kita berikan.

“Itulah persefahaman yang amat baik yang telah dapat kita laksanakan. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan kepada BN dan juga PN di kawasan masing-masing, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast