Timbalan Pengerusi Barisan Nasional yang juga calon N.27 Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media pada Program Santai Bersama Tok Mat Hasan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Taman Pinggiran Pedas, Rembau, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2026.

REMBAU – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan dilancarkan esok bukan ditiru atau diciplak daripada manifesto Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri Sabah, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi UMNO itu berkata, dakwaan bahawa BN mengambil kandungan manifesto berkenaan daripada manifesto PN Sabah hanyalah perang psikologi pihak tertentu.

“Manifesto yang banyak diviralkan itu, yang mengatakan kita menciplak atau mengambil daripada Sabah, itu tidak betul. Kita tidak pernah buat begitu. Itu cuma perang psikologi mereka sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program santai bersama Tok Mar Hasan di Pedas, hari ini.

Turut hadir calon BN bagi DUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris.

Menurut Pengerusi BN Negeri Sembilan itu, manifesto BN yang akan dilancarkan itu lebih menjurus kepada usaha menyambung semula agenda pembangunan yang tergendala selepas BN tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Katanya, asas kepada agenda berkenaan sudah tersedia sebelum ini dan BN kini mahu memperkemas serta meneruskan semula usaha yang terhenti selepas kehilangan kuasa pada PRU14.

“Sebenarnya manifesto itu, kalau saya boleh cakap sedikit sebelum pelancarannya malam esok, merupakan manifesto yang akan menyambung kerja kita yang tergendala.

“Selepas kita, Kerajaan BN, tewas pada 2018, asasnya sudah ada. Kita mahu memperkemaskan lagi dan menyambung apa yang telah pun tergendala selepas BN tewas pada 2018,” katanya.

Mohamad berkata, manifesto berkenaan dijangka dilancarkan pada malam esok sebagai tawaran BN kepada rakyat Negeri Sembilan menjelang PRN.

Sementara itu, beliau berkata BN masih belum memutuskan calon yang akan diketengahkan sebagai poster boy bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Katanya, keputusan mengenai perkara itu akan dibuat parti pada masa yang sesuai, namun gerak kerja kempen perlu diberikan keutamaan ketika ini.

“Yang penting ialah jangan kita terlalu banyak bercakap mengenai poster boy tetapi kita tidak buat kerja, tidak jalankan kempen dengan baik.

“Maka kita pastikan kita menang. Let us pass the post first,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast