Calon PH Dun Sg Lui, Cikgu Zainol FIkri mesra bersama pengundi sepanjang kempen.

JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Cikgu Zainal Fikri bertekad menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda Pasoh 2 dan Felda Pasoh 3 yang didakwa sudah hampir sedekad masih belum dapat didiami.

Beliau juga mahu memberi keutamaan kepada meningkatkan kemudahan asas di DUN Sungai Lui jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Jelasnya, hasil turun padang secara berterusan sepanjang lima hari berkempen mendapati sebahagian besar aduan yang diterima daripada penduduk berkisar kepada masalah perumahan, selain kekurangan kemudahan asas yang masih membelenggu beberapa kawasan di DUN Sungai Lui.

“Isu ini sudah terlalu lama berlarutan. Penduduk mengharapkan penyelesaian sebenar kerana satu pusingan pilihan raya telah berlalu tetapi masalah itu masih belum selesai.

“Ramai generasi kedua Felda akhirnya terpaksa berhijrah ke bandar kerana tidak mempunyai kediaman sendiri di kampung halaman,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Cikgu Zainal Fikri

Zainal berkata, bagi menangani masalah itu, beliau merancang menyediakan lot tanah di beberapa kawasan yang dikenal pasti di sekitar Sungai Lui bagi membantu generasi kedua memiliki kediaman sendiri.

Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat membantu golongan muda memiliki rumah, malah menggalakkan mereka kembali menetap di kampung sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial kawasan berkenaan.

“Kita mahu generasi kedua kembali membina kehidupan di kampung. Apabila mereka mempunyai rumah dan peluang, mereka boleh menyumbang semula kepada pembangunan Sungai Lui,” ujarnya lagi.

Selain isu perumahan, beliau berkata, masih terdapat penduduk di beberapa penempatan dalam DUN Sungai Lui yang berdepan kekurangan kemudahan asas termasuk bekalan air bersih dan elektrik.

Malah, katanya, terdapat juga keluarga yang masih tinggal di rumah diperbuat daripada buluh, selain ada yang terpaksa berkongsi sebuah rumah sehingga empat atau lima keluarga akibat kekurangan kediaman.

“Keadaan seperti ini tidak sepatutnya terus berlaku. Kemudahan asas dan tempat tinggal yang selesa adalah keperluan asas setiap rakyat dan perlu diberikan perhatian segera,” ujarnya lagi.

Dalam usaha menarik lebih ramai anak muda kembali ke kampung, Zainal turut mencadangkan Sekolah Menengah Lui Barat dinaik taraf dengan kemudahan asrama bagi membolehkan anak-anak yang menetap di bandar kembali belajar dan tinggal di kawasan tersebut.

Menurutnya, inisiatif itu mampu mengeratkan semula hubungan generasi muda dengan kampung halaman di samping membuka ruang kepada pembangunan komuniti yang lebih mampan pada masa depan.

Mengenai kempen, Zainal berkata, PH memilih pendekatan menyantuni pengundi secara langsung menerusi kempen rumah ke rumah berbanding bergantung kepada ceramah berskala besar.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan beliau mendengar sendiri masalah rakyat, selain menjelaskan perancangan dan tawaran PH secara lebih dekat kepada setiap keluarga.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kita melihat momentum sokongan terhadap PH di DUN Sungai Lui semakin positif menjelang hari pengundian,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast