PORT DICKSON – Perikatan Nasional (PN) meramalkan akan menyapu bersih kesemua 11 kerusi yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ramalan itu tidak boleh dinafikan kerana fakta menunjukkan gabungan jumlah pengundi PN dan Barisan Nasional akan memberi kemenangan untuk menewaskan calon lawan.
“Menang semua 11, penyatuan (PN-BN) hendak ke mana lagi. Pergi campur undi PN dan BN, menang tak 11 kerusi itu?
“Akan menang dan saya minta semua doakan PN menang, kerana orang baik-baik dan kami tiada masalah apa-apa,” katanya selepas Ceramah Perdana Umum PN dan BN Parlimen Jempol di Bandar Seri Jempol malam tadi.
PN sebelum ini mengumumkan senarai 11 calon mewakili gabungan itu yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan hasil kerjasama pembahagian kerusi dengan BN.
Senarai itu merangkumi lima calon daripada PAS, empat daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan masing-masing satu daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP)
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, tidak ada sebarang perbincangan dilakukan mengenai penggunaan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) seperti yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menteri Besar Kedah itu berkata, setakat ini beliau hanya menganggap ia hanya pandangan peribadi Hamzah.
“Saya pun tidak pernah dengar, tiada dalam perbincangan. Mungkin dia syok-syok cadang sahaja, tidak ada perbincangan sampai ke peringkat itu.
“Beliau seorang sahaja yang cadang istilah itu, nama itu hanyalah ‘perhiasan’ sahaja, tidak perlu dibesar-besarkan pun,” katanya. – MalaysiaGazette
















