KUALA LUMPUR – Orang ramai yang ingin menunaikan ibadah umrah tidak perlu lagi bimbang dengan lambakan tawaran harga yang mengelirukan apabila Karnival Pelancongan Islam Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Muslim Travel Fair 2026 menjanjikan pelbagai promosi dan pakej istimewa daripada agensi berlesen tanpa menawarkan diskaun melampau yang boleh mengundang risiko penipuan.
Timbalan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Dr. Fathir Alhadad Badri berkata, konsep karnival itu berbeza daripada pameran pelancongan lain kerana setiap syarikat yang mengambil bahagian perlu memenuhi syarat ditetapkan persatuan sekali gus memberi keyakinan kepada bakal jemaah.
Setakat ini , sebanyak 56 syarikat mengesahkan penyertaan dengan 52 daripadanya menawarkan pakej umrah manakala selebihnya terdiri daripada institusi kewangan, syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan pelancongan.
Menurutnya, sebanyak 76 gerai telah ditempah daripada sasaran awal 100 gerai dan pihak penganjur masih bersedia menambah ruang pameran sehingga 120 gerai sekiranya permintaan terus meningkat.
“Kita tidak menjanjikan potongan harga yang tinggi seperti yang sering dipromosikan di tempat lain. Sebaliknya, kita menawarkan pakej yang realistik, telus dan boleh dilaksanakan oleh agensi berlesen,” katanya pada sidang media sempena Karnival Pelancongan Islam PAPUH – Muslim Travel Fair 2026 di Shah Alam hari ini.
Dr. Fathir menjelaskan, PAPUH mahu memastikan setiap promosi yang ditawarkan sepanjang tiga hari karnival itu tidak mengelirukan pengguna atau menjanjikan sesuatu yang mustahil dipenuhi.
Sementara itu, Exco & Naib Presiden Muasassah Umrah & Haji, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026, Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, pengguna perlu berwaspada sekiranya terdapat pihak menawarkan pakej umrah pada harga terlalu murah kerana kos sebenar perjalanan ketika musim puncak tidak memungkinkan tawaran sedemikian.

“Hari ini harga tiket penerbangan sahaja sudah berada sekitar RM3,600 hingga RM4,000. Jadi kalau ada yang menawarkan pakej umrah lengkap pada harga RM3,000 atau RM4,000, pengguna perlu bertanya bagaimana ia boleh dilaksanakan kerana ia tidak logik.
“Kebanyakan kes jemaah terkandas yang berlaku sebelum ini berpunca daripada tawaran pakej yang terlalu murah sehingga syarikat gagal menyediakan tiket penerbangan atau kemudahan seperti dijanjikan.
“Saya tidak mengatakan semua pakej murah itu salah tetapi jika harganya terlalu rendah sehingga tidak masuk akal, itu adalah petanda bahaya. Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat bayaran,” katanya.
Muslim Travel Fair 2026 bukan sekadar platform jualan pakej umrah, malah menghimpunkan keseluruhan ekosistem pelancongan Islam termasuk institusi kewangan Islam, syarikat penerbangan, hotel dan agensi berkaitan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat di bawah satu bumbung.
“Pendekatan itu turut membezakan karnival berkenaan daripada pameran lain kerana penyertaannya hanya melibatkan syarikat yang memenuhi syarat keahlian PAPUH, sekali gus memelihara integriti industri pelancongan Islam,” katanya.
Karnival Pelancongan Islam, PAPUH Muslim Travel Fair 2026 akan berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini menawarkan pelbagai promosi eksklusif, konsultasi percuma, forum, cabutan bertuah lumayan serta peluang kepada orang ramai membuat tempahan terus dengan agensi umrah berlesen.
Antara pempamer yang menggambil bahagian pada karnival tersebut adalah Ikhlas.com, As Salik Travel & Tours, Zahafiz Travel & Tours, Jom Jelajah Benua Vacation, Hejaz Travel, Darul Mubarak Travel & Tours, Barakah Umhaj Travel & Tours dan RMS Travel & Tours,Kurma Gateways Travel Management Sdn Bhd (Omega Travel & Tours Sdn Bhd), Iltizam Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Murshid Al-Haramain Travel and Tours. – MalaysiaGazette















